PASIR MAS, 1 Ogos: 39 mahasiswa Kolej Universiti Sultan Ismail Petra (KIAS) memanfaatkan pengisian Program Advokasi Gerakan Pengguna Siswa (GPS) 2022 peringkat parlimen Pasir Mas anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Pasir Mas.
Presiden Persatuan Mahasiswa (PMKIAS), Wan Asyraaf Wan Yahaya berterima kasih kepada KPDNHEP cawangan Pasir Mas dan rakan penganjurnya, Kelab Komuniti Tani-ternak Pasir Mas (KITABINA) atas peluang yang ditawarkan kepada PMKIAS sebagai rakan strategik dalam menjayakan program tersebut.
Katanya, sudah kebiasaan PMKIAS terlibat dalam program kemasyarakatan namun aktiviti turun ke lapangan terbantut ekoran pandemik COVID-19.
“Pelawaan KITABINA untuk berkolaboratif sebagai urus setia dan peserta program bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kerana sangat relevan dengan Kelab Pengguna KIAS. Lagipun KIAS memang mengutamakan amalan beramah mesra dengan masyarakat demi mempertingkatkan kemahiran komunikasi dengan organisasi dan komuniti. Semua ilmu dan pengalaman daripada program ini amat bernilai buat kami untuk digunakan semasa dan setelah tamat belajar,” katanya ketika ditemui di perkarangan pejabat operasi KITABINA, Kampung Beta Pohon Buloh, Sabtu lalu.
Menurutnya, program berkonsep didik hibur secara santai itu mendedahkan mahasiswa dan 150 hadirin lain kepada lapan hak kepenggunaan yang mesti diketahui sebagai pelengkap kesejahteraan hidup.
Sesi perkongsian advokasi kepenggunaan disampaikan oleh Pegawai KPDNHEP cawangan Pasir, Suhaimi Abbas.
Antara isi penting ialah pengguna wajar mendapat informasi tentang kuantiti, kualiti dan harga barang atau perkhidmatan yang perlu dibayar.
“Aplikasi whatsapp di talian 019- 2794319 ialah saluran yang paling mudah untuk pengguna menyalurkan aduan dengan cepat supaya tindakan segera boleh diambil oleh pihak penguatkuasa KPDNHEP,” kata Suhaimi.
Menyusul kemudian ialah demonstrasi menyelamatkan bayi daripada tersedak susu dan kanak-kanak daripada tercekik makanan oleh pengamal keselamatan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan (PBSMM).
Dalam majlis penutup, Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari memuji semangat muafakat agensi Kerajaan Persekutuan, NGO dan mahasiswa dalam menjayakan program yang sangat berfaedah.
“Tahniah penganjur kerana membantu Kerajaan Persekutuan mahu pun negeri dalam melaksanakan program yang berguna kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi pada awal Muharram, jadi molek benar kita jadikan iktibar peristiwa Hijratul Rasul untuk saling belajar membangunkan pemikiran dan rohani masyarakat melalui perkongsian ilmu dan mempraktikkan akhlak yang baik.
Setelah tahu hak, kita tunaikan pula tanggungjawab masing-masing supaya kesejahteraan hidup secara berjemaah dan harmoni dapat kita nikmati bersama-sama, selari dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran,” katanya.