Home Berita PAS Kelantan

Pendidikan tunjang MBI

24
SHARE

PUTRAJAYA, 1 Ogos: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM130 juta setiap tahun demi memajukan bidang pendidikan.

Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata pelbagai usaha telah dilakukan Kerajaan Negeri Kelantan sejak dulu hingga kini, termasuklah mengembalikan semula peranan pendidikan yang diasaskan oleh pemimpin sebelum ini untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama di Kelantan.

“Antara kejayaan pembangunan pendidikan di Kelantan ialah penubuhan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang mampu melahirkan graduan berkemahiran dalam bidang al-Quran, hadis dan cemerlang dalam bidang pengurusan.

“Kita menyedari kegagalan dalam memberikan keutamaan dalam bidang pendidikan serta ilmu akan menyebabkan usaha Kelantan Membangun Bersama Islam amat sukar dicapai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penutup Himpunan Asatizah dan Du’at Perantau Kelantan di Lembah Klang (HIMAT), semalam.

Majlis turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan YB Dato’ Mumtaz Md Nawi serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Sementara itu, tambahnya beliau amat berbangga kerana ramai anak Kelantan yang sanggup merantau ke seluruh negeri mahupun negara, semata-mata untuk menyebarkan ilmu, atau hadir bekerja dengan mana-mana agensi dan juga jabatan kerajaan mahupun menjadi daei bebas.

“Jujurnya saya amat terhutang budi dengan asatizah, pensyarah, serta agamawan yang sama-sama turut membantu kerajaan negeri bagi menyebarkan ilmu wahyu ke seluruh negara.
Alhamdulilah, hari ini kita dapat lihat hubungan yang telah dibina bersama Kerajaan Persekutuan akan memberi peluang untuk kita menyuburkan lagi pembangunan ilmu di Kelantan ke arah yang lebih baik,” katanya.