ALOR SETAR – Seramai 15 peniaga kecil dalam DUN Alor Mengkudu ceria dan bersyukur menerima bantuan peralatan perniagaan.
Sumbangan berupa kanopi, dapur dan wang saguhati itu adalah peruntukan daripada Kerajaan Negeri yang disalurkan melalui Pusat Khidmat Penyelaras Dun.
Salim Musa, 52, berkata dia akan memanfaatkan kanopi dan dapur bagi memastikan perniagaan makanan dan minumannya di Alor Mengkudu bertambah maju.
“Saya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peralatan itu kira-kira sebulan lalu dan alhamdulillah, hari ini saya dipanggil untuk menerimanya,” katanya.
Seorang lagi penerima iaitu Ahmad Shuib berkata dapur yang diterimanya bakal menggantikan dapur sedia ada yang sudah uzur dan berbahaya untuk digunakan.
“Dapur itu sudah bocor yang menyebabkan apinya tidak sekata dan kadang kala menjadi terlalu besar serta hampir menyambar isteri ketika menggoreng kuih,” ujarnya.
Penyelaras Dun, Zakaria Sulaiman meluangkan masa menyantuni dan menyerahkan peralatan perniagaan kepada penerima-penerima yang terpilih itu.
Turut bersama dalam majlis itu ialah Naib YDP Pas Kawasan Alor Setar, Shahabudin Ahmad serta Ramli Abdull, Selaku Ketua JPKK.