Home Berita PAS Sabah

Perkasa agenda tarbiyah dan perkaderan

77
SHARE

Oleh Yusrizal Baco
1 Ogos 2022

LAHAD DATU : Ahli PAS khususnya kawasan Lahad Datu digesa untuk memperkasakan agenda tarbiyah dan pengkaderan parti di semua peringkat bermula daripada peringkat cawangan, kawasan dan juga dewan-dewan.

Yang Dipertua PAS (YDP) Lahad Datu, Ramli Pataruddin berkata bahawa agenda ini perlu diambil perhatian dan dilaksanakan secara berterusan agar dapat mengukuhkan lagi kekuatan parti dan kelangsungan pelapis kepimpinan.

“Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS.

“Tarbiyah digerak dan diaktifkan untuk membina aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah, fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri dan syakhsiyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah S.A.W,” ujarnya dalam ucaptama sempena Mesyuarat Agung PAS Lahad Datu kali Ke-10 di Dewan Arena Belia, Kunak, semalam.

Menurut Ramli lagi, pengkaderan pula berfungsi untuk membina kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa, membentuk organisasi yang mantap serta untuk menyusun tindakan yang strategik juga berkesan.

Kesemua perwakilan menyokong penuh ucaptama yang disampaikan oleh YDP PAS Lahad Datu pada mesyuarat agung itu.

Sementara itu, perwakilan daripada Dewan Pemuda PAS Lahad Datu, Azmir Usman mengajak ahli PAS memperkasakan tarbiyah dengan pengamalan muwasafat tarbiyah seperti yang disarankan oleh Imam Hasan Al-Banna.

“Kekuatan tarbiyah penting bagi menghadapi pilihan raya mendatang kerana tanpa tarbiyah tiadalah kesatuan, wala, taat serta jihad dan pergorbanan dalam memperjuangkan kebenaran islam,” katanya ketika perbahasan ucaptama YDP.

Mesyuarat agung itu dihadiri lebih 60 orang perwakilan dan pemerhati daripada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Lahad Datu serta 3 PAS cawangan iaitu Aman Jaya, Pekan dan Mostyn.

Mesyuarat agung itu dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Hj. Salleh merangkap Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II.