Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan Persekutuan salur RM95.5 juta martabatkan Islam di Kelantan

226
SHARE

KOTA BHARU, 18 April: Sungguh, Kelantan sebuah negeri yang subur dengan penghayatan Islam dan nilai-nilai akhlak. Sebagai usaha memartabatkan Islam, Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM95.54 juta kepada seluruh Murabbi Ummah Negeri Kelantan bagi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Idris Ahmad, semalam.

Beliau menjunjung kasih Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang berkenan meraikan para Murabbi Ummah seterusnya menyempurnakan perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Kelantan tahun 2022.

Datuk Idris bersyukur berpeluang bertemu mata dengan para ulama dan asatizah menerusi program yang menjelaskan tentang hal ehwal berkaitan pengurusan, pengimarahan masjid, pendidikan Islam dan isu-isu semasa dalam negara.

Baginya, pertemuan antara para Murabbi Ummah dengan pihak kerajaan amat penting bagi mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin dalam kalangan masyarakat Islam.

“Mewakili Kerajaan Persekutuan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh para imam, guru-guru takmir, guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Tuan Guru Pondok dan Tahfiz serta para pentadbir dan penyelaras Masjid di Kelantan yang istiqamah menyebarkan syiar Islam.

Besar harapan kami di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk kita meneruskan gandingan akrab ulama dan umara yang sekian lama terjalin. Amat besar tugas yang kita pikul bersama sebagai mata rantai perjuangan Islam,” katanya selepas menyampaikan Cek Cura Peruntukan Kewangan Kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Kelantan Tahun 2022 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Panji.

Sebelum itu, berlangsung Forum Multaqa Murabbi Ummah peringkat Negeri Kelantan 2022 di Dewan Serbaguna, KIJP bertajuk “Keilmuan Berpaksikan Tauhid” kupasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Sahibus Samahah Mufti Negeri Kelantan YB Dato’ Mohd Shukri Mohamed. Manakala Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud pula bertindak sebagai moderator.

Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabaran Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh.