TUMPAT, 5 April: Perasaan sedih dan sayu menimpa enam buah keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan menyambut Ramadan pertama sedikit terubat selepas dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Kelaurga dan Wanita YB Dato’ Mumtaz Md Nawi, semalam.
Sambil menghulurkan bantuan, Dato’ Mumtaz berharap semua keluarga tabah dalam ujian yang menimpa dan mendoakan semoga ujian kehilangan tersebut digantikan Allah SWT dengan rezeki yang lebih baik.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan turut hadir dan seterusnya menyampaikan sumbangan daripada Tabung Serambi Mekah yang berjumlah RM1000 setiap keluarga.
Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang diwakili oleh Ketua Jajahan Tumpat Rusydee Abdullah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2000 kepada setiap keluarga.
Mengikut laporan media sebelum ini, kejadian berlaku pada pukul 7.10 malam pada 3 April ketika masing-masing sedang menyediakan juadah untuk berbuka puasa sebelum dikejutkan dengan api yang tiba-tiba muncul dari arah dapur yang mengakibatkan enam buah rumah musnah terbakar.
Operasi memadam kebakaran membabitkan 15 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Pengkalan Kubor dan Wakaf Bharu.