Home Berita PAS Sabah

PAS Sepanggar prihatin masyarakat

52
SHARE

Oleh : Nur Uraifah Shah
5 April 2022

KOTA KINABALU : PAS Sepanggar melancarkan Program Bakul Ramadan sebagai tanda keprihatinan masyarakat yang memerlukan.

Menurut Yang Dipertua PAS kawasan, Dr Aliakbar Gulasan, program yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan itu untuk menyantuni masyarakat khususnya sekitar Sepanggar serta membantu penduduk yang kurang berkemampuan.

“PAS akan berusaha membantu semua tanpa mengira perbezaan politik dalam memberikan sumbangan berbentuk kebajikan.

“Sumbangan kebajikan ini atas dasar kita sama-sama saudara seislam dan bagi merapatkan lagi ikatan persaudaraan antara kita semua,” ujar beliau lagi.

Beliau turut berpesan kepada semua penerima agar berusaha mendalami ilmu agama kerana orang Islam dituntut untuk mencari ilmu.

Seramai 37 buah keluarga di Kampung Lobou, 30 orang ibu tunggal dan 30 orang anak yatim di Flat Jaya Diri telah menerima sumbangan bakul makanan berupa keperluan dapur beserta takwim Ramadan semalam.

Terdahulu seramai 35 buah keluarga telah menerima bantuan yang sama di Surau Al Hidayah Kg Naalap.

Dr Aliakbar turut mengimamkan solat zohor di Surau An Nur selepas majlis penyerahan. Turut hadir menyampaikan sumbangan ahli jawatankuasa Yayasan Amal Sabah, Haji Salman Ismail.

Sumbangan bakul makanan masih diperlukan. Masyarakat yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun Bank Islam PAS kawasan Sepanggar 10052010005872 atau hubungi Nasir di talian 0104551809.