KOTA BHARU, 30 Mac: Menteri Besar YAB Ustaz Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob berkata Pembangunan Ladang Hutan di dalam Hutan Simpanan Kekal di Kelantan yang telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) pada 9 Ogos 2012 adalah seluas 199,000 hektar.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju mengguna pakai kuota Keluasan Zon Pembangunan Ladang Hutan tersebut yang telah diluluskan oleh Mesyuarat MTN pada 9 Ogos 2012.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Kewangan berkata demikian ketika menjawab soalan daripada ADUN Bukit Bunga, YB Dato’ Mohd Adhan Kechik pada Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 tahun 2022, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada ADUN yang sama, beliau turut memaklumkan sekiranya terdapat pelabur yang gagal dan pernah dibawa ke mahkamah serta mencemarkan nama Kerajaan Negeri dalam mengusahakan ladang hutan ini, tindakan kerajaan akan membatalkan serta merampas deposit daripada syarikat yang tidak bertanggungjawab dan menawarkan tender yang baharu kepada pengusaha yang ingin membuat tanaman.