Home Berita PAS Kelantan

JKR negeri mohon RM200 juta baik pulih kerosakan jalan, jambatan

26
SHARE

KOTA BHARU, 30 Mac: Kerajaan Negeri menyenaraikan jalan-jalan dan jambatan-jambatan yang rosak akibat banjir lalu dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri telah mengemukakan peruntukan RM200 juta kepada Kementerian Kerjaraya untuk membaik pulih kerosakan tersebut.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, YB Dato’ Sr Azami Mohd Nor ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Pantai Irama, YB Mohd Huzaimy Che Husin pada Persidangan kali Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 Tahun 2022, hari ini.

Menjawab soalan bertulis daripada ADUN yang sama sebelumnya berhubung perancangan kerajaan untuk naik taraf Jambatan Kampung Titian Lunas yang menghubungkan Kampung Pantai Baru ke Pantai Melawi dan Jambatan JPS Kampung Pulau Belongan persisiran pantai ke Kampung Nipah, beliau menjelaskan, Jambatan Kampung Titian Lunas adalah di bawah seliaan Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok.

Berhubung dengan kerosakan Jambatan JPS Kampung Pulau Belongan beliau menjelaskan, pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS) telah mengambil maklum dan menjalankan siasatan tentang kerosakan tersebut.

“Kini JPS dalam proses menyusun keperluan dan keutamaan kerosakan jambatan di jajahan tersebut untuk diangkat kepada kerajaan negeri,” katanya.