KOTA BHARU, 29 Mac: Bagi memastikan arus pendidikan sekolah di pedalaman tidak tercicir, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) sentiasa mengadakan lawatan pihak pengurusan tertinggi YIK ke sekolah-sekolah di pedalaman seperti Gua Musang, Jeli, Dabong dan Kuala Krai.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, YB Rohani Ibrahim pada Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri Ke-14 Tahun 2022 Hari Ke-2, hari ini.
Menurutnya terdapat tujuh langkah yang diambil oleh YIK dalam membantu pembangunan dan pembelajaran sekolah pendalaman antaranya ialah meningkatkan prasarana sekolah yang kondusif disamping melengkapkan keperluan bahan bantu mengajar (BBM) dan memastikan bilangan guru mencukupi mengikut nisbah kelas.
Mengulas berkaitan pendidikan Orang Asli pula, beliau turut memaklumkan, semejak 2019 Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan kelas Prokhas di Kampung Aring 5 untuk menyampaikan akses pendidikan kepada murid orang asli kawasan tersebut manakala satu lagi kelas Prokas sudah mula beroperasi di Kampung Kuala Koh bermula bulan ini.
Selain itu, pada masa yang sama JPNK melalui Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang (PPDGM) juga telah melakukan bimbingan secara berterusan dan berkala dari aspek pedagogi guru iaitu bimbingan strategi dan teknik pembelajaran yang sesuai dengan keupayaan murid dan kawasan pembelajaran murid serta keupayaan murid untuk akses kepada sumber pembelajaran.