Oleh NUR ‘IFFAH
SEKIJANG, 27 Feb: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Kemelah, Normala Sudirman merupakan anak jati di DUN Kemelah yang amat dekat di hatinya dengan penduduk di kawasan berkenaan.
Hari ini, beliau yang lebih dikenali dengan nama Cikgu Mala, meluangkan masa turun padang bertemu dengan para pengundi.
Kehadiran beliau disambut mesra oleh penduduk yang tidak mahu melepaskan peluang untuk beramah mesra dengannya.
Menurut Cikgu Mala, rata-rata pengundi yang ditemui memberikan respon positif terhadap keputusan Perikatan Nasional untuk meletakkan calon di semua kerusi pada PRN kali ini.
“Bahkan, mereka turut mengucapkan selamat berjuang serta memberikan kata-kata semangat kepada saya dan rakan-rakan calon yang lain agar terus komited dan tidak berputus asa memperjuangkan nasib rakyat.
“Kepada para pengundi muda, saya juga mengambil peluang bertemu pada hari ini untuk menyeru mereka agar turun menunaikan hak mereka sebagai pengundi bagi memilih kepimpinan yang terbaik untuk menerajui negeri ini,” katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, beliau yang ditemani beberapa orang pengiring turut menyantuni beberapa orang penduduk dalam kalangan warga emas dan ibu tunggal yang tinggal di tanah rancangan terbabit.