KOTA BHARU, 20 Feb: Tragedi yang berlaku di Kampung Lumpur, Pasir Mas dua hari lepas telah membawa Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi turun ke lokasi menziarahi serta bertanya khabar waris keluarga mangsa.
Allahyarham Nur Hasliza Yazaib dikatakan menaiki motor berasingan dengan suaminya sebelum motosikal yang ditunggang arwah bertembung dengan sebuah motosikal lain. Allahyarham meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala bayinya juga tidak dapat diselamatkan.
Dalam rombongan ziarah tersebut, isteri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob turut turun sama prihatin menghulurkan sumbangan.
Sementara itu, melalui posting di laman maya Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadli Shaari, beliau cakna dalam memberi kata-kata semangat serta bantuan.
“Saya berada di Johor ketika mendengar perkhabaran duka tersebut dan atas dasar prihatin, isteri saya, Puan Hajjah Nor Yani Mohd Salleh mewakili saya turun mengadakan ziarah dan menghulurkan sumbangan. Semoga keluarga Allahyarham terus tabah dan dikurniakan ganjaran berpanjangan di atas musibah yang menimpa,” katanya.