KOTA BHARU, 2 Jan: Pusat Intergrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA) benar-benar membuktikan keunggulan hubungan masyarakat pelbagai kaum di Kelantan.
Keakraban tersebut diterjemah melalui Majlis Penghargaan PEKA Muhibbah Keluarga Malaysia sempena sambutan 31 MBI Kerajaan Negeri Kelantan, baru-baru ini.
Bertemakan Perpaduan Kelantan: Satu Wajah, lapan tokoh dan ikon berwibawa dari pelbagai kaum antaranya; You Tuber, Fang Seng Kok pemilik Akok Channel, Juru acara majlis rasmi, Azimi Mahmood, Pengerusi Kelab Sara Taekwando Martial Art Negeri Kelantan, Master S. Manimaran, menerima Anugerah Keluarga Malaysia disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, YB Mejar ( B ) Dato’ Md Anizam Ab Rahman di dalam majils anjuran PEKA bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kelantan.
Acara sambutan dimeriahkan oleh kombinasi paluan gendang tiga kaum bermula dengan masyarakat India, Siam dan tarian singa masyarakat Cina. Disusuli gimik pelancaran penubuhan cawangan PEKA kawasan Tumpat, Rantau Panjang, Tanah Merah, Ketereh dan Pasir Mas.
Kemuncaknya, buku Perpaduan Kelantan: Satu Wajah dilancarkan dan hadirin dihiburkan dengan tiupan serunai Kang Jiaw Reng, alunan seruling Azman Mohd Daham dan improvisasi puisi “Banjir” karya M. Nizam Rahman oleh Zanazanzaly serta dendangan lagu berbahasa Mandarin oleh Sardi Hadi.