KOTA BHARU, 1 Jan: Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menyeru seluruh rakyat Kelantan di dalam negeri dan di perantuan agar bersyukur atas segala kurniaan rezeki sepanjang tahun 2021 dan bersabar dengan semua ujian yang dihadapi serta bersangka baik Allah SWT bakal menganugerahkan ganti yang berlipat ganda kebaikannya pada tahun 2022.
Beliau juga bersyukur dan menganggap rezeki pertama dinikmati Kelantan ialah kejayaan beralih Ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara bermula pada 3 Januari 2022. Oleh itu, beliau amat berharap rakyat mempertingkatkan kawalan kendiri dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Kenyataan tersebut disokong timbalannya, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah yang menyifatkan kehadiran tahun 2022 wajar disambut dengan segala puji bagi Allah SWT yang dengan nikmat-Nya sempurnalah perkara-perkara yang baik.
Hal yang sama turut dicatat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, di laman sosialnya. Beliau berhamdalah dan berterima kasih kepada rakyat serta mengingatkan rakyat agar terus bersikap positif.
“Alhamdulillah. Namun jangan leka untuk terus patuhi SOP. Terima kasih rakyat Kelantan yang memberi kerjasama terbaik. Kita bina dan bangkit bersama. 365 hari telah berlalu dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Semoga lembaran baharu akan lebih bermakna daripada 2021”, tulisnya.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi pula melalui rakaman video berpesan, 2021 bakal menjadi pengalaman dan kenangan. Yang baik kita jadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan.
Moga tahun 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik, lebih cemerlang dan lebih optimis dalam melalui hari-hari yang penuh cabaran.