KOTA BHARU, 29 Dis: Hasil data, kajian dan amaran yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, perlu diambil berat oleh semua pihak.
Demikian kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah menerusi laman facebook rasminya baru-baru ini.
Terdahulu, menerusi laman web rasmi Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) telah mengeluarkan amaran awal banjir yang kemungkinan berlaku pada 30 hingga 31 Disember di beberapa kawasan lembangan sungai Kelantan meliputi Sungai Galas di Limau Kasturi dan Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai.
Dato’ Mohd Amar berkata semua agensi pengurusan bencana dan pihak berkuasa telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan banjir di Gua Musang dan Kuala Krai hujung minggu ini.
Beliau juga mengingatkan penduduk di kawasan yang dijangka banjir supaya lebih berwaspada dan memohon perlindungan Allah untuk dijauhi keburukan.