Home Berita PAS Pahang

PAS Mempaga sumbang tenaga bantu cawangan-cawangan terkesan banjir

287
SHARE

OLEH: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 29 Dis. :: PAS Cawangan Mempaga dengan kerjasama beberapa buah cawangan lain di sekitar Bentong mengambil langkah proaktif membantu membersih rumah mangsa-mangsa banjir di Taman Prima Bentong, baru-baru ini.

Menurut Ketua PAS Cawangan Mempaga Dua, Razak Md Akhir, program ini adalah cetusan ide dan inisiatif bersama antara cawangan-cawangan yang mana kebanyakan ahlinya terlibat dalam musibah ini.

“Memandangkan PAS Cawangan Mempaga tidak terlibat dalam banjir ini, atas rasa ehsan dan simpati kami turun ke lapangan sebagai salah satu tanda solidariti kami membantu sahabat-sahabat yang terlibat,” ujar Razak.

Misi bantuan ini dijayakan seramai hampir 20 orang petugas daripada tujuh cawangan PAS iaitu, Mempaga, Mempaga Dua, Lebu, Desa Damai, Kampung Baru, Taman Kolej dan Sri Pelangai.

Apa yang menarik, misi itu turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan terdiri daripada Setiausaha, Ismail Bakar, Bendahari, Azmin Baharuddin dan Zairul Azizan selaku Ketua Lajnah Kebudayaan, Keseniaan Dan Rekreasi (LKKR).

“Hasil semangat dan kerjasama para amilin kami di tujuh buah cawangan ini, alhamdulillah kami berjaya bersihkan sebanyak lima buah rumah di Taman Prima Bentong ini.

“Ada yang datang jauh dari DUN Pelangai semata-mata mahu turut sama membantu. Hanya Allah mampu membalas budi baik sahabat sekalian,” ujar Ismail terharu.

Turut diserahkan adalah sumbangan wang tunai daripada para penderma untuk Tabung Bencana Banjir PAS Kawasan Bentong kepada Bendahari Kawasan, Azmin Baharuddin.

Terdahulu, pada tarikh 22, 23 dan 24 Disember lalu, PAS Cawangan Mempaga telah turun membantu membersih rumah Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Bentong, Khairuddin Abdullah dan beberapa orang AJK PAS yang turut terlibat di dalam musibah ini.