Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan Kelantan bentangkan 5 matlamat pembangunan wanita

255
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 4 Oct: Kerajaan Kelantan melalui portfolio Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita membentangkan lima matlamat pembangunan wanita Kelantan yang diterjemahkan melalui kerangka Gagasan Wanita Solehah Kelantan (GWSK) tahun 2016-2030.

YB Exco YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata GWSK akan dijadikan panduan dalam merancang pelbagai inisiatif bagi pembangunan wanita Kelantan.

Beliau memperincikan matlamat tersebut dengan terjemahan definisi mukminah yakni wanita yang menjunjung rukun Islam dan iman dan berusaha mencapai tahap ihsan dalam semua aspek kehidupan (muhsinah). Bagi wanita bukan Islam, mereka boleh mengamalkan ajaran agama masing-masing secara harmoni.

Takrifan bijaksana ialah wanita yang unggul dari aspek intelektual dan keilmuan, mengenal kebenaran serta mengamalkannya dan mampu meletakkan segala urusan sesuai pada tempatnya.

Manakala, dinamik pula ialah wanita yang memiliki ciri keterampilan dan berkemahiran tinggi dengan kontek kehidupan, masyarakat dan profesion di peringkat lokal dan global serta mampu menerbitkan pembaharuan dan kemajuan.

“Cakna ialah sifat wanita yang prihatin dan terkehadapan dengan aktiviti filantropi dan kemasyarakatan serta sakinah pula ialah wanita yang mencapai keseimbangan spiritual, fizikal, intelektual, emosional dan sosial (SOFIES) memperoleh ketenangan” hurainya melalui Dialog Ummah Negeri Kelantan (DUNK) yang berlangsung secara maya, semalam.

Program DUNK siri ke-6 tersebut anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dipermudahcarakan oleh Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWA) Ilvira Mohd Dasuki dan disertai 140 pemimpin masyarakat dalam kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Kredit foto: FB U-KeKWA