KENYATAAN MEDIA PAS MELAKA
~ KEMELUT POLITIK MELAKA – BERTENANG SAMBIL BERTINDAK~
PAS Melaka mengikuti dari dekat pergolakan politik yang berlaku di negeri ini dengan teliti dan berhati-hati.
Tindakan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang diketuai ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Utama Idris Haron menarik sokongan pada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang berlaku semalam sangat mengejutkan semua pihak.
Sebaiknya semua pihak harus melakukan gencatan politik dan memberikan tumpuan kepada penyelesaian masalah utama rakyat iaitu pandemik Covid-19 dan ekonomi rakyat.
Perkara ini berlaku di saat beberapa orang ADUN yang terbabit baru sahaja menyatakan bahawa mereka tidak terlibat dengan komplot ini beberapa hari lepas semasa ia heboh diperkatakan oleh media.
Apa yang penting adalah kita mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat terhadap krisis politik yang tidak berkesudahan yang melanda negara terutama Negeri Melaka di saat Covid-19 belum lagi dapat dikalahkan ini.
Kebimbangan sebahagian besar orang Melayu di Melaka adalah jika PH-DAP kembali berkuasa akibat daripada kemelut politik yang sedang berlaku.
Saya berharap semua rakyat Melaka terutama pimpinan dan ahli PAS Melaka, juga pimpinan parti-parti rakan seperti Bersatu dan Umno agar bertenang dan bersabar di samping kita mengambil langkah sewajarnya bagi menangani perkara ini dengan cermat dan teliti.
Bak kata pepatah ‘Menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus tepung tidak berserak’.
Sudah sampai masanya semua rakyat Melaka terutamanya dalam kalangan parti-parti besar Melayu untuk memikirkan secara lebih serius tentang perpaduan dan semangat Keluarga Malaysia supaya kita tidak berpecah belah yang akhirnya akan merugikan rakyat jelata.
Seperti pepatah Melayu ‘Jong pecah Yu kenyang’.
DATUK USTAZ KAMARUDIN SIDEK
Pesuruhjaya PAS Melaka
5 Okt ’21 | 27 Safar 1443
PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA
JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.
Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.
Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.
|