Oleh NORZANA RAZALY
BACHOK, 19 Sept: Malaysia dijangka menjadi negara pengeluar dan pembekal vaksin dunia khususnya kepada negara Islam setelah melabur lebih RM54 juta dengan Malaysia Genome Institute (MGI) untuk proses pembangunan vaksin dan antivirus, manakala RM5 juta pula membabitkan kajian pembangunan vaksin dengan universiti tempatan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, MOSTI telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mengambil tugas dan tanggungjawab mencari jalan supaya cadangan tersebut menjadi realiti.
“Malaysia sebuah negara Islam menjadi pengeluar dan pembekal vaksin akan lebih menyakinkan masyarakat Islam di seluruh dunia tentang status vaksin yang dihasilkan itu nanti.
Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung dengan bekalan vaksin daripada negara luar dan kita perlu keluarkan vaksin tempatan untuk keperluan dalam negara dan luar negara”, katanya pada sidang media di Program Vaksin COVID-19 sempena Sambutan Hari Malaysia 2021 di Pantai Senok, semalam.