Oleh NORZANA RAZALY
PASIR MAS, 6 Sept: Projek penanaman jagung manis hibrid yang diusahakan Mohamad Azrul Zulkifli bersama rakannya, Muhammad Zulfahmi Zainal Abidin di Kampung Tal Tujuh mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari.
YB Ahmad Fadhli mencatat tentang kunjungannya ke tapak projek di laman Facebook, baru-baru ini.
Keberanian anak muda tersebut berdikari dengan menceburi bidang pertanian berasaskan jagung yang boleh dipetik selepas ditanam dalam masa 70 hari, dipuji wakil rakyat yang amat prihatin.
“Segar-segar jagung dua anak muda ini yang tidak pernah memohon apa-apa bantuan, berdikari menyewa tanah setengah ekar untuk ditanam 3000 pokok jagung. Tahniah, saya syorkan supaya mencari lagi tapak-tapak di persekitaran untuk projek penanaman ini”, tulisnya.
Kedua-dua belia berusia 26 tahun itu ialah pemegang Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Kok Lanas mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian pada awal tahun 2019 dengan menyewa setengah ekar tanah di Kampung Atas Pinggir dan setengah ekar lagi di Kampung Sakar Sungai, dekat sini.
Status yatim piatu tidak menjadikan mereka berasa rendah diri sebaliknya faktor itu dijadikan pemangkin mereka berusaha gigih mempertingkatkan taraf ekonomi melalui sektor pertanian.
Bermodalkan RM1000, mereka kini berpuas hati dengan purata pendapatan sehingga RM8,000 semusim.
“Doakan, cita-cita kami berjaya untuk menjadi antara pembekal jagung manis hibrid terbesar di Kelantan yang boleh dieksport ke luar negara. Kami harap suatu hari nanti jajahan Pasir Mas menjadi pemain utama industri berasaskan jagung dengan pemilik ladang jagung ialah belia yang lengkap memiliki jentera pertanian sendiri”, katanya ketika dihubungi.
Peminat jagung segar boleh menghubungi Azrul di talian 010-9133651 dan perkhidmatan penghantaran terus ke lokasi pembeli disediakan.
Kredit foto: FB YB Ahmad Fadhli Shaari.