Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
KOTA Bharu, 30 Ogos: Antara salah satu sektor paling teruk terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik COVID-19 ialah sektor pelancongan.
Menurut Jabatan Perangkaan anggaran kerugian sepanjang tempoh tersebut untuk sektor pelancongan Kelantan adalah RM2.6 bilion, manakala negara pula kerugian RM45 bilion.
Atas kesedaran dan keprihatinan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah bantuan untuk membantu sektor ini dengan membabitkan dua fasa iaitu tahun 2020 dan 2021.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, YB Mejar Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman ketika menjawab soalan pada Sidang DUN Kelantan Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-14 Tahun 2021 baru-baru ini.
Bantuan Khas COVID-19 Fasa 2, 2021 antaranya adalah bantuan RM3,000 dalam bentuk baucer penginapan pelancongan kepada premis penginapan pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC dan RM500 untuk program sanitasi membabitkan premis penginapan pelancongan berdaftar di bawah MOTAC.
Selain itu, bantuan tunai RM1,000 kepada agensi dan operator pelancongan, bantuan tunai RM500 kepada operator bot pelancongan dan bantuan tunai RM500 kepada pemandu pelancong.
Seterusnya, bantuan tunai RM300 kepada penggiat seni JKKN, bantuan tunai RM1,200 dengan bakul makanan berjumlah RM100 kepada beca pelancong dan bantuan tunai RM350 dengan bakul makanan berjumlah RM70 kepada penggiat seni.
Keseluruhan bantuan bagi tahun 2021 berjumlah RM498,000 manakala tahun sebelumnya M226,750.
#ViraliyatBerita4ptg
#LiputanKhasSidangDUN2021