Home Berita PAS Johor

Muar daerah pertama capai imuniti kelompok kebangsaan

192
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 5 Sept : Daerah Muar telah muncul sebagai daerah pertama peringkat kebangsaan berjaya mencapai imuniti kelompok sehingga 80.8 peratus sejak Program Imunisasi Covid 19 (PICK) dilancarkan pada 1 Mac lalu.

Sehingga kini, seramai 199,037 atau 99.6 peratus penduduk telah menerima vaksin dos 1 manakala 161,555 atau 80.8 peratus telah lengkap kedua-dua dos. Jumlah dos yang telah diberikan ialah sebanyak 360,592.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid 19 Daerah (CIVF), Mustaffa Kamal Shamsudin, kejayaan itu adalah hasil kerjasama bersepadu membabitkan pelbagai jabatan berusaha bagi membantu masyarakat termasuk orang asli mendapat suntikan vaksin Covid 19.

Ia termasuk menggerakkan tiga team outreach dan memperkenalkan program pengambilan vaksin secara terus dan bersasar.

“Harapan kami, MKN dapat mempertimbangkan untuk kita melangkah ke fasa dua dan berikutnya lebih awal daripada daerah lain. Saya tidak menafikan MKN menetapkan perubahan kuasa mengikut negeri , tetapi jika Muar sudah begitu jauh dari daerah lain tetapi kena ikut daerah lain juga, saya fikir kurang adil.

“Ini kerana komuniti Muar yang sama-sama bersungguh-sungguh, sejak Mac lagi berkempen, bersama berprogram vaksinasi secara outreach dan sebagainya, ” tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam siaran Buletin Utama TV3, jam lapan malam semalam.

Muar dijangka akan mencapai liputan vaksin 100 peratus dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi. Daerah kedua paling tinggi pengambilan vaksin ialah Tangkak iaitu 74.8 peratus dan diikuti Batu Pahat 56.2 peratus.