Oleh CHE MAZIAH MAT
KOTA BHARU, 20 Ogos: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menyerahkan sumbangan RM50,000 sebagai bantuan bencana serta-merta kepada Kedah melalui Tabung Serambi Mekah.
Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob berkata, sumbangan ini sebagai tanda solidariti dan kebersamaan antara Kelantan dan Kedah.
“Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan kita, Kelantan bersetuju menyerahkan sumbangan RM50,000 sebagai bantuan bencana bagi meringankan beban mangsa terlibat di saat penularan pandemik COVID-19 yang semakin tinggi.
Sama-sama juga kita doakan semoga semua usaha penyelamat bagi mencari mangsa hilang dipermudahkan dan juga usaha untuk memulihkan kawasan terjejas dapat dipulihkan”, katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan berlakunya banjir besar dan tanah runtuh susulan daripada fenomena kepala air dari puncak Gunung Jerai telah melibatkan 14 kampung terjejas dan lebih 90 orang penduduk dipindahkan.