PEMBANGUNAN Lembah Binjai akan meningkatkan nilai tanah di kawasan tersebut. Sekiranya projek itu berjaya dilaksanakan, ia akan menjanjikan nilai pelaburan dan peluang pekerjaan yang tinggi.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata kerana tanahnya lembah, kemampuan individu tidak mampu untuk membangunkan kawasan itu.
Menurutnya, di Zon A contohnya untuk membuat pembangunan, ia perlu ditimbun sehingga melebihi 10 kaki.
“Ia menelan kos yang tinggi, ada pula satu lot dimiliki empat pemilik. Ia semakin sukar untuk membuat pembangunan secara individu,” ujarnya.
Katanya, pada pendapat kerajaan negeri pembangunan menyeluruh itu lebih bermanfaat.
Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas perkembangan terkini pembangunan Lembah Binjai selepas mesyuarat exco hari ini.
Semalam (Rabu) pertemuan antara Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan pemaju telah diadakan dengan pemilik tanah.
Nik Amar seterusnya berkata, Lembah Binjai juga bakal menjadi destinasi pelancongan baru kerana kedudukannya yang strategik di samping pembangunan yang bakal dibina.
Menurutnya lagi, untuk kepentingan pemilik tanah, pemaju akan meletakkan mereka yang terlibat dalam projek tersebut.
“Di situ mereka akan diberi pilihan sama ada pampasan kewangan atau sebuah rumah,”ujarnya.
Bagi mengatasi sebarang kesulitan, kerajaan negeri meminta MPKB-BRI dan pemaju berbincang dengan pemilik tanah di zon A.
Katanya, pertemuan itu untuk memastikan adakah rakyat menolak pembangunan di situ atau ada isu lain yang diperbesarkan pihak tertentu.
Nik Amar sekali lagi menjelaskan, kerajaan negeri hanya meluluskan pembangunan Lembah Binjai hanya di Zon A sahaja.
Katanya, pembangunan di Zon A melibatkan 14 buah rumah.
“Kita nak tengok dahulu apa yang berlaku di zon A. Sekiranya tiada sebarang bantahan rakyat dan memberi banyak manfaat pada rakyat, kita akan timbang untuk projek seterusnya di zon lain.
“Bagaimanapun pertemuan dengan mereka yang terlibat perlu diadakan untuk mendapatkan gambaran sebenar,”ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/6/2017