Home Berita PAS Kelantan

Contohi semangat Hijrah Rasul – Exco Dakwah

114
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 11 Ogos: Tema sambutan Hijratul Rasul 1443H, “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” bertepatan dengan situasi semasa yang wajar dicontohi semua lapisan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan kenyataan tersebut dengan mengingatkan tentang peristiwa hijrah mengajar kepada kita bahawa tiap-tiap orang yang beriman itu akan sentiasa diuji berdasarkan kepada tahap keimanan masing-masing.

“Membudayakan semangat hijrah yang sesuai dengan situasi semasa memerlukan kita mengadaptasi diri dengan normal baharu berikutan penularan wabak COVID-19.

Contohnya, peningkatan kes di Kelantan yang semakin membimbangkan membuatkan kita lebih berdisiplin untuk mengikut normal baharu dengan menyiarkan majlis sambutan Hijratul Rasul secara langsung melalui Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK)” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, sambutan Awal Muharram menuntut kita menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan Syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi Timur dan Barat.

“Semoga kita juga tabah dan sabar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta peka terhadap setiap arahan kerajaan dari masa ke semasa”, tambahnya.