Home Berita PAS Perlis

Program vaksin komuniti bantu percepat sasaran Fasa 4 PPN

111
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 11 Ogos: Inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia yang menggerakkan program vaksin komuniti dilihat mampu mempercepat usaha negeri ini untuk beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim, pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) membantu lebih ramai penduduk di negeri ini untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Alhamdulillah, di Guar Sanji sahaja hari ini, seramai 420 penerima telah menerima suntikan vaksin menerusi program vaksin komuniti ini.

“Sekiranya peratusan pemvaksinan ini mampu mencapai 60 peratus dalam masa 10 hari lagi, insya Allah Perlis boleh beralih ke Fasa 4 PPN kerana sasaran yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya 3,000 vaksin diberikan sehari.

“Saya juga difahamkan bilangan individu berusia 18 tahun ke atas di negeri ini yang telah menerima dua dos vaksin telah mencecah angka 49 peratus dan pelaksanaan program ini akan membantu merancakkan lagi bilangan berkenaan (yang menerima vaksin)” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau Program Vaksin Komuniti DUN Guar Sanji di Dataran Behor Mentalon, dekat sini pagi tadi.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Perlis Roziena Ahmad.

Mohd. Ridzuan dalam pada iatu turut mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) atas inisiatif mengadakan program berkenaan.

“Insya Allah, saya dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Guar Sanji akan sentiasa menyokong apa sahaja program yang memberi manfaat kepada penduduk yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

“Kepada penduduk Guar Sanji khasnya dan rakyat Perlis amnya, saya juga ingin mengingatkan bahawa perjuangan kita dalam memerangi Covid-19 belum berakhir dan janganlah kita leka dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan pada ketika ini (Fasa3 PPN),” ujarnya lagi.