Oleh NORZANA RAZALY
PASIR MAS, 1 Ogos: Suri rumah sepenuh masa Nor Azini Abdul Aziz, 35, mengakui beliau dan suami terpaksa membiayai kos tambah nilai telefon pintar sebanyak RM100 sebulan bagi membolehkan tiga mereka mengikuti sesi pembelajaran secara maya.
Bebanan keluarga ini semakin terasa apabila suaminya, Wan Azimi Wan Hussin, 46, tidak lagi disambung perkhidmatan sebagai pemandu bas ekspres ke Johor Bahru sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuatkuasa Mac lalu.
Tekanan perasaan suami-isteri itu memuncak memikirkan anak-anaknya yang bakal mengulangi pengalaman yang sama seperti sesi lepas setelah mengetahui pengumuman sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini.
Katanya, sesi PdPR lalu, anak sulung mereka, Wan Muhammad Adam, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (SMU) A-Ulum Padang Embun di sini, yang mengikuti sesi pembelajaran Tingkatan 2 bergilir-gilir berkongsi dengan Wan Muhammad Aidil, 9, menggunakan telefon pintar milik suaminya untuk mengikuti sesi pembelajaran Tahun 3 di Sekolah Kebangsaan Othman Talib (SKOT) 2.
Manakala anak keduanya Wan Nor Aina Balqis,12, pelajar tahun 6 di SKOT2 menggunakan telefon miliknya, sedangkan, beliau hanya meraih pendapatan RM400 hasil upah menjaga anak saudaranya.
“Terus-terang, kami bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan makanan daripada wakil rakyat Tendong melalui penghulu.
Namun masih berasa amat terhimpit dengan keadaan semasa dan menyeru pihak berwajib menghulurkan bantuan persekolahan untuk anak-anak pula.
Kami benar-benar mengalami kekangan kewangan yang melibatkan masa depan anak-anak. Sementelahan mereka suka belajar, jadi kami tak tergamak menyekat keinginan mereka untuk mengikuti kelas PdPR.
Mahu tak mahu, kami terpaksa merayu bantuan persekolahan ini, walaupun segan”, katanya ketika ditemui di rumahnya, di Lorong Che Rahmah, Tendong, di sini, hari ini.
Pihak berwajib, sektor korporat dan individu yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menghubungi terus 0179698050 (Azini) bagi urusan menghulurkan bantuan sahaja.