Home Berita PAS Kelantan

RM1.41 juta agihan Bantuan Sejahtera Tani

202
SHARE
Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
KOTA BHARU, 5 Jul: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan mengagihkan dana RM1.41 juta kepada golongan petani, nelayan dan penternak yang terkesan teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menyampaikan bantuan tersebut pada Program Bantuan Sejahtera Tani Covid-19 Tahun 2021 di Bilik Gerakan Negeri Kota Darulnaim, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan golongan petani, nelayan dan penternak turut mengalami masalah lambakan hasil yang tidak dapat dijual di pasaran. Sekali gus menjejaskan pendapatan mereka setiap hari.
“Saya mencadangkan supaya golongan ini mendaftar diri dengan Perkeso sebagai pekerja persendirian supaya mendapat bantuan apabila berdepan dengan sebarang musibah,” katanya.
Penerima bantuan tersebut diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi setiap jajahan dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk menerima ‘Mock Cheque’.
Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Timbalan Speaker, YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi BBC, YB Dato’ Hassan Mahamood dan Ketua Pegawai Eksekutif PKPNK, Nik Fazul Fazlee Nik Othman.