Home Berita PAS Kelantan

Task Force setiap mukim bantu penghulu agih bantuan

96
SHARE
Oleh SUHAIZI KADIR
PASIR PUTEH, 21 Jun: Task force setiap mukim diwujudkan bagi membantu penghulu menyenarai pendek rakyat yang terkesan dan layak menerima bantuan.
Lapan ahli jawatankuasa dilantik bagi setiap mukim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan.
“Saya ambil inisiatif mewujudkan pasukan task force mukim bersama-sama penghulu. Maknanya kalau kata penghulu buat keputusan sendiri, tak betul,” jelas ADUN Limbongan, YB Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.
Mohd Nazlan juga mengakui tidak mampu untuk mengagihkan bantuan kepada semua penduduk kerana peruntukan yang terhad namun sentiasa memastikan sasaran penerima yang tepat.
Pusat Khidmat DUN Limbongan telah pun mengagihkan Pakej Bantuan Cakna Rakyat berjumlah RM60,000 kepada 2,400 keluarga secara berfasa.
Mengulas mengenai dakwaan penghulu pilih bulu dan isu keciciran, beliau berpuashati dengan komitmen dan kerja penghulu di kawasan beliau.
Sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan lagi, beliau telah membuat rutin bedah siasat dalam setiap gerak kerja penghulu.
“Kita sebut balik rungutan di peringkat bawah dan kita cari punca sebenar. Memang kadang-kadang kita jumpa (puncanya) orang yang komen tidak berpuashati secara peribadi bukan dari sudut perkhidmatan penghulu,” ujar Mohd Nazlan.
Beliau turut mengharapkan kerjasama daripada semua pihak, khususnya jiran tetangga dan mereka yang berkemampuan untuk membantu meringankan beban golongan yang terkesan ini.
Dalam masa yang sama, Pusat Khidmat Limbongan telah melancarkan talian hotline dan talian setiap penghulu bagi memudahkan sebarang aduan dan saluran maklumat bagi memastikan tiada keciciran.