SINTOK – Dewan Pemuda PAS negeri Kedah menyerahkan barangan keperluan kepada Bilik Gerakan Bencana Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk warganya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ekoran peningkatan jangkitan wabak Covid-19 di kampus tersebut.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Abd Hamid berkata nilai keseluruhan barangan tersebut adalah lebih dari RM 5 ribu hasil sumbangan Dewan Pemuda serta beberapa pertubuhan kebajikan iaitu Khidmat Malaysia Kubang Pasu, GAMIS Kedah, NGO Wadi An Nasr, Al Azhar Care, Pertubuhan Warga Cakna, Akasia Care dan Uthman Affan Prihatin.
PKPD dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia setelah mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 208 penghuni universiti tersebut,
Seramai 2,322 warga UUM terlibat dalam pelaksanaan PKPD ini dimana 2,067 daripadanya adalah mahasiswa terdiri daripada 1,823 mahasiswa tempatan dan 244 mahasiswa antarabangsa yang berlangsung selama dua minggu bermula 13 Jun lalu hingga 26 Jun depan.
“Kami berdoa agar semua warga UUM selamat dan tabah mengharungi ujian ini, dan Insya Allah Dewan Pemuda sentiasa prihatin serta sedia menghulur sebarang bantuan sekiranya diperlukan,” tambahnya.