Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Hina Agong: Ambil tindakan tegas kepada penderhaka

360
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Hina Agong: Ambil Tindakan Tegas Kepada Penderhaka

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menempelak tindakan mana-mana pihak yang menghina Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) yang menjadi teras kepada Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan Iswardy Morni, Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak menuduh serta menghina Baginda Sultan tidak melakukan apa-apa langkah mendepani COVID-19 adalah melampau serta tidak berasas. Ia menggambarkan ceteknya maklumat yang beliau perolehi biarpun berada dalam dunia teknologi moden.

Beberapa langkah telah dilaksanakan YDPA bagi negara mengharungi wabak antaranya menyelesaikan polemik politik dengan mengutamakan urusan COVID-19 berbanding membawa negara ke kancah politicking. Baginda Sultan juga memperkenankan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Baginda Sultan tidak bertindak sesuka hati bahkan bertindak selaras Perlembagaan Perkara 40 (1), pada menjalankan fungsinya mengikut nasihat Jemaah Menteri (kecuali pada beberapa perkara yang diperuntukkan).

PAS tegas menyatakan bahawa Institusi Di-Raja adalah perkara yang mesti dipertahankan. Usah dibiarkan anak bangsa yang bakal menerajui negara satu hari nanti menjadi barah dengan sikap kurang ajar dan tidak memelihara teras negara seperti Institusi Di-Raja, agama Islam dan Bahasa Melayu.

Imbas kembali 22 bulan Pakatan Harapan, Raja-Raja Melayu dihina secara terbuka. Media sosial menjadi platform utama untuk menghamburkan cacian sebagai agenda mereka menyamaratakan seterusnya menghapuskan institusi raja.

Kini agenda tersebut diteruskan oleh konconya malah tidak pun mendapat kecaman oleh pemimpin PH.

PAS mendesak agar tindakan tegas dikenakan kepada penghina Institusi Di-Raja agar menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia yang ingin hidup dalam keadaan sejahtera.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
31 Mei 2021 | 19 Syawal 1442