Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 24 Mei: Kelantan mencatatkan 626 kes positif Covid-19 pada dua hari lepas sehingga menyebabkan katil di ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semakin terhad untuk kegunaan pesakit dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan berkemungkinan diwujudkan.
Sehubungan itu, Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob menegaskan, keadaan amat kritikal dengan penggunaan katil antara 90 hingga 95 peratus setiap hari.
“40 daripada 42 katil di wad ICU sudah dihuni pesakit. Ada kalanya mencecah 100 peratus. Dengan situasi semasa sebegitu, tidak mustahil ICU Medan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibina seperti di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang”, katanya ketika meninjau PKRC Gelanggang Seni yang menempatkan 147 pesakit dengan dilengkapi 30 katil klinikal dan 50 katil bertingkat, Ahad lalu.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan (JBPM) pula merekodkan urusan pengkebumian jenazah mangsa Covid-19 berpurata empat kematian sehari.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB), Zainal Madasin berkata, pasukan HAZMAT JBPM berperanan membantu pihak hospital dan waris (mangsa COVID-19) bagi menguruskan pengkebumian jenazah tersebut.
“Angka kematian akibat Covid-19 direkodkan berjumlah 94 kes dalam tempoh 1 hingga 23 Mei. Statistik ini menunjukkan Kelantan berada pada tahap kritikal dan mencemaskan”, katanya melalui panggilan telefon ketika ditanya tentang peranan Unit HAZMAT (Hazardous materials) dalam menguruskan pengkebumian mangsa COVID-19.
Beliau juga menyeru masyarakat serius mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang semakin diperketatkan mulai esok dan mengamalkan SOP kendiri secara sukarela sebagai tindakan drastik untuk memutuskan rantaian wabak pandemik yang mengancam nyawa.