Oleh ABU HARITH
RAMADAN makin melabuhkan tirainya. Sedar tidak sedar, hanya baki beberapa hari sahaja lagi sebelum Syawal tiba. Bagaimana pengisian Ramadan tahun ini, menjadi satu persoalan penting untuk dibuat penilaian oleh setiap Muslim.
Adakah Ramadan tahun ini lebih baik? Bertemu lagikah kita dengan Ramadan akan datang? Semuanya menjadi rahsia Allah SWT.
Ramadan menjadi bulan tarbiah kepada kita semua jika setiap amalan yang disyariatkan pada bulan ini kita betul-betul menghayatinya. Contohnya amalan puasa. Daripada terbit fajar hingga terbenamnya fajar, satu tempoh waktu yang kita disuruh untuk menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Lihatlah juga bagaimana bersahur dan berbuka juga satu tempoh waktu yang cuba mendidik kita untuk patuh kepada masa.
Boleh dikatakan, pada bulan ini majoriti Muslim akan bersedia lebih awal pada waktu sahur dan berbuka. Semata-mata ingin mengambil fadilat melewatkan sahur dan mengawalkan waktu berbuka.
Kita tidak pernah gagal menghafal masuknya waktu Maghrib dan Subuh pada bulan ini. Selama sebulan lamanya kita dididik berkenaan dengan kepatuhan terhadap masa. Persoalannya, bagaimana pula kesannya selepas Ramadan?
Ini menjadi persoalan besar yang harus kita semak kepada diri kita. Tabiat dan momentum ini harus dikekalkan pada bulan-bulan yang lain juga apabila kita bercakap soal menjaga masa.
Orang Islam harus menjadi juara dan contoh terbaik dalam hal ini. Tidak cukup dengan puasa, sekian lama solat lima waktu juga menjadi medan untuk mentarbiah kita bila bercakap soal mengawalkan waktu.
Semua ini menuntut kepada kesedaran, kesungguhan dan kecaknaan kita terhadap semua yang telah kita laksanakan. Ia bukan satu ritual agama semata, tetapi yang jauh lebih besar ianya harus menjadi sebahagian amalan kehidupan harian kita.
Konsep menepati dan menghargai masa ini perlu diterjemahkan dalam semua urusan kehidupan agar orang Islam dan agama Islam itu dipandang mulia serta tinggi sesuai dengan kedudukan sebenarnya.
Marilah kita berazam, agar Ramadan kali ini menjadi satu bulan yang telah berjaya kita harungi dengan jayanya melalui pembuktian akhlak yang jujur terhadap masa. Hormati masa kita dan hormati masa orang lain.
Membazir masa, selalu lewat dan bertangguh-tangguh dalam setiap pekerjaan adalah sikap yang perlu kita hapuskan. Barulah Syawal yang bakal diraikan menjadi bukti sebenar bahawa kita telah lulus dengan jayanya tarbiah Ramadan khususnya dalam soal menghargai masa.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.”
(Al-Baqarah: 183)
Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar.
AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH
. SAMBAL IBU SARI .