Home Artikel PAS Johor

Duit dan bakul raya untuk sukarelawan PASTI

106
SHARE

Oleh Muhammad Hamizi Masduki

Sri Gading, 8 Mei 2020: Program sumbangan duit raya & bakul raya telah dijadikan program tahunan PASTI Kawasan Sri Gading yang bertujuan memberi sedikit hadiah dan saguhati sebagai tanda kasih kepada para sukarelawan PASTI.

Seramai 40 orang sukarelawan telah tersenarai sebagai penerima pada tahun ini termasuk yang paling lama berkhidmat bersama PASTI Kawasan Sri Gading bermula sejak tahun 2005 lagi.

Pelaksanaan program ini bertujuan membantu para sukarelawan membuat persiapan Aidilfitri. Pemberian sedikit wang tunai, barangan keperluan dapur dan harian sebagai tanda terima kasih di atas sumbangan besar para sukarelawan mengajar dan mendidik anak-anak pelajar PASTI.

Di dalam program ini juga, Pengurusan PASTI Kawasan Sri Gading telah berbesar hati memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada Majlis Guru PASTI Kawasan yang diserahkan kepada Ketua Guru PASTI sebagai wakilnya.

Sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor Ustaz Ahmad Nawfal dan dalam sesi tazkirah santai yang disampaikan beliau berpesan, “Lailatul qadar merupakan sesuatu yang Allah rahsiakan agar kita bersungguh-sungguh mencarinya. Dengan berbaki beberapa hari lagi di bulan Ramadhan, semoga kita terus istiqamah meningkatkan amalan harian kita”.

Program yang bermula sekitar pukul 5.30 petang sehingga Maghrib ini didahului dengan majlis tahlil ringkas dan berakhir dengan majlis berbuka puasa serta solat Maghrib berjamaah.

Antara yang hadir di dalam program ini ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Leftenan Kolonel (B) Mohd Ashari Sidon, Timbalan Yang Dipertua Ustaz Hashim Jusoh, Ketua Dewan Pemuda Azrin Subari dan Pengarah PASTI Negeri Johor Mohd Fairuz Alias.