Home Berita PAS Kedah

PJ PAS Kedah serah rumah buat pesakit kanser usus

401
SHARE

 

KUALA KEDAH – Perhatian terhadap nasib golongan yang diuji kehidupannya sentiasa menjadi keutamaan PAS Negeri Kedah agar segala bebanan ditanggung mendapat pembelaan secara sewajarnya.

Apatah lagi diringankan atau dipermudahkan urusan sesama manusia itu adalah tuntutan agama di mana Allah S.W.T menjanjikan kesenangan sama diberikan kepada mereka yang melepaskan saudaranya dari ujian seperti itu.

Demikian itu jugalah hal ehwal berkaitan kebajikan menjadi antara aktiviti atau agenda wajib PAS yang merutin di seluruh negara di samping dakwah dan tarbiyah di sebalik ia dikenali sebagai parti siyasah.

Memenuhi peranan itulah, nasib seorang pesakit kanser usus, Abdullah Ali, 61 tahun telah dibantu dengan sumbangan sebuah rumah digantikan dari rumah asal yang dhaif di Kampung Padang Perak, Mergong, di sini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya telah meluangkan masa menyempurnakan penyerahan bantuan rumah yang dibaik pulih dari tapak berhampiran pada satu majlis ringkas, kelmarin.

Turut serta semasa penyerahan adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi dan Penyelaras DUN Anak Bukit, Rashidi Abdul Razak.

Turut bersama adalah Presiden Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor, Ustaz Muhamad Naim Hashim di mana NGO dikenali sebagai Geng Talaqqi itu merupakan penyumbang utama baik pulih tersebut.