Home Berita PAS Kelantan

MENGENANG SAYYIDAH KHADIJAH R.A.

1797
SHARE

Antara peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan ialah kewafatan Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah r.a. Kewafatan beliau dikatakan berlaku pada 10 Ramadhan, 3 tahun sebelum hijrah, pada tahun yang sama dengan kewafatan seorang lagi pembela Islam yang unggul, iaitu Abu Talib bapa saudara Rasulullah SAW, lalu tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Kesedihan dalam sirah nabawiyyah.

Jasa-jasa besar Sayyidatina Khadijah r.a. dalam membantu dakwah Rasulullah SAW dan membela Islam adalah sesuatu yang sangat mengagumkan. Bermula hari pertama lagi, apabila beliau memberikan “sokongan moral” kepada Baginda SAW yang masih dalam keadaan menggigil selepas sahaja menerima wahyu, dengan kata-kata semangat beliau:

كَلَّا، أبْشِرْ، فَوَاللَّهِ لا يُخْزِيكَ اللَّهُ أبَدًا، إنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وتَصْدُقُ الحَدِيثَ، وتَحْمِلُ الكَلَّ، وتَقْرِي الضَّيْفَ، وتُعِينُ علَى نَوَائِبِ الحَقِّ
“Tidak sama sekali, bergembiralah, kerana demi Allah, Allah tidak akan menghinakanmu selama-lamanya; sesungguhnya kamu benar-benar menyambung silaturrahim, bercakap jujur, menanggung beban, memuliakan tetamu, dan membantu meringankan musibah”. (Sahih Bukhari)

Sayyidatina Khadijah r.a. telah merasai bersama segala cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh Baginda Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah di Makkah, termasuklah sekatan ekonomi dan pemulauan. Beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan terkenal telah membelanjakan segala harta kekayaan untuk kepentingan dakwah Islam.

Beliau telah beristiqamah memberikan bantuan harta, tenaga, masa, dan jiwa raga, demi perjuangan Islam, sehinggalah akhir hayat beliau. Maka tidak hairanlah jika Baginda Rasulullah SAW sangat sedih dengan pemergian beliau.

Kecintaan Baginda Rasulullah SAW kepada beliau sentiasa mekar dan subur, dan kedudukan beliau di sisi baginda tidak dapat ditandingi oleh isteri-isteri yang lain. Kata Aisyah r.a:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا ذَكَرَ خَدِيجَةَ أَثْنَى عَلَيْهَا، فَأَحْسَنَ الثَّنَاءَ، قَالَتْ: فَغِرْتُ يَوْمًا، فَقُلْتُ: مَا أَكْثَرَ مَا تَذْكُرُهَا حَمْرَاءَ الشِّدْقِ، قَدْ أَبْدَلَكَ اللهُ عز وجل بِهَا خَيْرًا مِنْهَا. قَالَ :مَا أَبْدَلَنِي اللهُ عز وجل خَيْرًا مِنْهَا، قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ، وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ، وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ، وَرَزَقَنِي اللهُ عَزَّ وجلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila menyebut Khadijah, baginda akan memuji beliau dengan begitu baik. Katanya (Aisyah): Maka aku pun cemburu pada suatu hari, lalu berkata: Alangkah banyak kamu menyebutnya, wanita yang sudah merah rahangnya, sesungguhnya Allah telah menggantikan untukmu yang lebih baik daripadanya.

Baginda menjawab: Allah tidak pernah menggantikan untukku yang lebih baik daripada beliau; sesungguhnya beliau telah beriman denganku ketika manusia kufur denganku, mempercayaiku ketika manusia mendustakanku, membantuku dengan harta beliau ketika manusia menegahku, dan Allah Azza wa Jalla mengurniakan kepadaku anak beliau ketika Dia menegah aku daripada anak-anak wanita lain”. (Hadith sahih riwayat Ahmad)

Kecintaan Baginda Rasulullah SAW kepada Sayyidatina Khadijah r.a. selepas kewafatan beliau dizahirkan dengan berbuat baik kepada kawan-kawan beliau. Kata Aisyah r.a:

مَا غِرْتُ عَلَى أَحَدٍ مِنْ نِسَاءِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ، وَمَا رَأَيْتُهَا، وَلَكِنْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُكْثِرُ ذِكْرَهَا، وَرُبَّمَا ذَبَحَ الشَّاةَ ثُمَّ يُقَطِّعُهَا أَعْضَاءً، ثُمَّ يَبْعَثُهَا فِي صَدَائِقِ خَدِيجَةَ، فَرُبَّمَا قُلْتُ لَهُ: كَأَنَّهُ لَمْ يَكُنْ فِي الدُّنْيَا امْرَأَةٌ إِلَّا خَدِيجَةُ. فَيَقُولُ: إِنَّهَا كَانَتْ، وَكَانَتْ، وَكَانَ لِي مِنْهَا وَلَدٌ .

Maksudnya: “Aku tidak pernah cemburu terhadap seorang pun daripada isteri-isteri Nabi SAW seperti aku cemburu terhadap Khadijah, sedangkan aku tidak pernah melihat beliau, akan tetapi Nabi SAW sering menyebut beliau. Kadang-kadang Baginda menyembelih kambing dan memotong-motong anggotanya, kemudian mengutuskannya kepada kawan-kawan Khadijah, maka kadang-kadang aku berkata: Seolah-olah tiada di dunia ini seorang wanita pun kecuali Khadijah! Lalu Baginda menjawab: Sesunguhnya beliau adalah begitu dan begini, dan aku mempunyai anak daripada beliau”. (Riwayat Bukhari)

Dalam satu kejadian, Baginda Rasulullah SAW pernah didatangi oleh seorang wanita tua dari kabilah Muzainah. Selepas mengenalinya, baginda telah melayaninya dengan begitu baik, sehingga membuatkan Aisyah r.a. kehairanan, maka Baginda SAW pun bersabda:

إِنَّهَا كَانَتْ تَأْتِينَا زَمَنَ خَدِيجَةَ، وَإِنَّ حُسْنَ الْعَهْدِ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia sering datang kepada kami pada zaman Khadijah, dan sesungguhnya keelokan kesetiaan itu sebahagian daripada iman”. (Hadith sahih riwayat al-Hakim)

Bahkan setiap sesuatu yang mengingatkan Baginda SAW kepada Khadijah akan membuat baginda tenang dan gembira. Kata Aisyah r.a:

اسْتَأْذَنَتْ هَالَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ أُخْتُ خَدِيجَةَ عَلَى رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم، فَعَرَفَ اسْتِئْذَانَ خَدِيجَةَ فَارْتَاحَ لِذَلِكَ؛ فَقَالَ: اللَّهُمَّ هَالَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ

Kecintaan yang sangat tinggi ini kadang-kadang terserlah di wajah Baginda SAW apabila mendengar kata-kata cemburu yang tidak menyenangkan, seperti kata Aisyah r.a: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepadamu daripada seorang wanita tua dari kalangan wanita-wanita tua Quraysh, yang merah kedua-dua rahangnya, dan telah meninggal pada zaman pertama”. Kata Aisyah r.a:

فَتَمَعَّرَ وَجْهُهُ تَمَعُّرًا مَا كُنْتُ أُرَاهُ إِلَّا عِنْدَ نُزُولِ الْوَحْيِ وَإِذَا رَأَى مَخِيلَةَ الرَّعْدِ وَالْبَرْقِ حَتَّى يَعْلَمَ أَرَحْمَةٌ هِيَ أَمْ عَذَابٌ

Maksudnya: “Lalu wajah Baginda pun berubah, dengan satu perubahan yang tidak pernah aku lihat melainkan ketika turun wahyu dan ketika awan guruh dan kilat, sehingga Baginda mengetahui adakah ia rahmat atau azab”. (Hadith sahih riwayat Ahmad, al-Hakim dan Ibn Hibban)

Kecemburuan Aisyah r.a. ini pernah dijawab oleh Baginda SAW dengan bersabda:
إِنِّي قَدْ رُزِقْتُ حُبَّهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah dikurniakan perasaan cinta kepada beliau”. (Sahih Muslim)

Kecintaan Baginda SAW yang mendalam kepada Khadijah sudah tentu menjadi petunjuk bahawa Khadijah telah melakukan satu pengorbanan yang sangat besar dalam membela dan mempertahankan Islam.

Pengorbanan besar Sayyidatina Khadijah r.a. telah melayakkan beliau untuk menduduki carta tertinggi wanita sepanjang sejarah. Anas r.a. meriwayatkan bahawa Baginda SAW bersabda:
حَسْبُكَ مِنْ نِسَاءِ العَالَمِينَ: مَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ، وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ، وَآسِيَةُ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ.
Maksudnya: “Cukuplah bagimu daripada wanita sekalian alam itu: Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad dan Asiah isteri Fir’aun”.

Dalam hadith yang lain pula, Ibn Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Baginda SAW telah melakarkan empat garisan di atas tanah, lalu bertanya kepada para sahabat: “Tahukah kamu apakah ini?”. Para sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Maka Baginda SAW pun bersabda:

 

أَفْضَلُ نِسَاءِ أَهْلِ الجَنَّةِ: خَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ، وَآسِيَةُ بِنْتُ مُزَاحِمٍ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ، وَمَرْيَمُ ابْنَةُ عِمْرَانَ.

Maksudnya: “Wanita ahli syurga yang paling afdhal ialah: Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Asiah binti Muzahim isteri Fir’aun dan Maryam binti Imran”.

Ganjaran syurga terhadap pengorbanan besar Sayyidatina Khadijah r.a. telah pun disampaikan kepada beliau ketika beliau masih hidup lagi. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan:

أَتَى جِبْرِيلُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، هَذِهِ خَدِيجَةُ قَدْ أَتَتْ مَعَهَا إِنَاءٌ فِيهِ إِدَامٌ، أَوْ طَعَامٌ أَوْ شَرَابٌ، فَإِذَا هِيَ أَتَتْكَ فَاقْرَأْ عَلَيْهَا السَّلَامَ مِنْ رَبِّهَا، وَمِنِّي، وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ، لَا صَخَبَ فِيهِ، وَلَا نَصَبَ .

Maksudnya: “Jibril telah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ini dia Khadijah, sesungguhnya beliau telah datang dengan sebuah bekas yang mengandungi lauk, atau makanan atau minuman; maka apabila beliau telah datang kepadamu, maka sampaikanlah salam kepada beliau, dari Tuhan beliau dan dariku, dan berilah berita gembira kepada beliau dengan sebuah rumah di syurga dari mutiara berongga, tiada hiruk pikuk di dalamnya dan tiada kepenatan”.

Sambutan Hari Saidatina Khadijah @ Hari Wanita diadakan setiap tahun di negeri Kelantan bagi meraikan dan mengiktiraf peranan serta jasa bakti wanita dalam semua aspek.

Semoga keperibadian dan pengorbanan besar Sayyidatina Khadijah r.a. menjadi contoh tauladan bagi para wanita beriman di akhir zaman ini.

https://www.facebook.com/datonikamar

MOHD AMAR ABDULLAH | 11 RAMADAN 1442
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim