Oleh IBNU JANIE
BARU-BARU ini beberapa orang tokoh politik melalui media-media sosial mereka telah membangkitkan isu had statutori hutang negara. Menurut mereka, hutang negara pada masa ini telah melepasi tahap yang ditetapkan oleh undang-undang.
Kementerian Kewangan melalui menterinya YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 22 Mac lepas pula telah mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan situasi yang menjadi perdebatan dalam kalangan ahli politik kerajaan dan pembangkang ini.
Menteri Kewangan dalam kenyataan itu menjelaskan bahawa memang terdapat banyak persoalan mengenai hutang negara termasuk bagaimana ianya didefinisikan serta bagaimana ia telah bertambah.
Ia juga terkait dengan persoalan sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan had hutang negara memandangkan kerajaan telah melancarkan pelbagai pakej stimulus tahun lepas.
Sebenarnya semua Hutang Dalam Negara adalah tertakluk kepada beberapa akta iaitu Akta Pinjaman (Tempatan) 1959, Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946.
Akta-akta ini meliputi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) serta Bil-bil Perbendaharaan (MTB).
MITB dan MTB adalah Bil Perbendaharaan iaitu instrumen pinjaman jangka pendek oleh kerajaan kepada institusi kewangan atau orang ramai. Biasanya dalam tempoh pembayaran tidak lebih setahun.
Sementara MGS dan MGII pula dipanggil sebagai Sekuriti Kerajaan atau pun Bon yang merupakan pinjaman yang dibuat oleh kerajaan jangka panjang. Jangkamasa bayar balik melebihi satu tahun, malah boleh menjangkau puluhan tahun.
Selain daripada akta-akta ini, Hutang Dalam Negara turut melibatkan Sukuk Perumahan Kerajaan. Ini adalah kerana sebelum 2016, pinjaman perumahan awam masih dianggap sebagai hutang negara, lebih kurang tiga peratus daripada keseluruhan hutang Kerajaan.
Namun begitu sejak 2016, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab menguruskan urusan membiayai pinjaman perumahan bagi golongan penjawat awam.
Hutang Luar Negara atau pinjaman pesisir luar adalah untuk projek-projek seperti pinjaman daripada JICA (Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun) atau IDB (Islamic Development Bank) dan pinjaman pasaran seperti sukuk global atau Bon Samurai.
Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 turut menetapkan had sebanyak RM35 bilion sahaja dan had ini, menurut Menteri Kewangan, sentiasa dipatuhi.
Sebelum COVID-19, Had Hutang Kendiri sebanyak 55 peratus telah digunapakai bagi hutang domestik dan luar negara. Tetapi, apabila negara dilanda Covid-19, dasar fiskal yang lebih fleksibel diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup.
Oleh yang demikian, had bagi MGS, MGII dan MITB telah diubah kepada 60 peratus dan diluluskan di Parlimen melalui Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan [Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)] 2020.
Akta yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Ogos 2020 ini membolehkan kerajaan menaikkan had statutori jumlah wang yang berupaya diperoleh atau dipinjam ini mengikut Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 hingga ke paras 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Tarikh kuat kuasa akta berkenaan bermula pada 27 Februari lalu hingga 31 Disember 2022.
Ini bermaksud sebelum wujudnya akta ini had pinjaman hutang kerajaan secara keseluruhannya adalah dengan kadar statutori maksimum 55 peratus daripada KDNK. Namun selepas wujudnya akta ini kadar maksimumnya telah dinaikkan kepada 60 peratus daripada nilai KDNK dan hanya meliputi MITB, MTB, MGS dan MGII. Sementara bagi Hutang Luar Negara menggunakan kadar maksimum bwrasingan iaitu pada kadar maksimum RM35 bilion.
Tengku Zafrul semasa menggulung RUU itu menjelaskan bahawa kenaikan had ini adalah suatu langkah sementara dan akan kembali kepada had 55 peratus KDNK pada tahun 2023.
kenaikan had ini adalah suatu langkah sementara dan akan kembali kepada had 55 peratus KDNK pada tahun 2023.
Untuk salur bantuan kepada rakyat
Akta ini telah membolehkan pihak kerajaan menyalurkan bantuan secara langsung kepada golongan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Mikro, menyelamatkan pekerjaan melalui subsidi upah dan menyokong perniagaan-perniagaan untuk terus beroperasi.
Pada masa yang sama, siling hutang yang lebih tinggi turut membenarkan kerajaan untuk sentiasa bersedia terutama sekali di dalam memberi bantuan tambahan kepada rakyat yang masih terkesan.
Di dalam kenyataan itu Tengku Zafrul juga menjelaskan bahawa apabila Kementerian Kewangan (MOF) melaporkan hutang negara adalah sebanyak RM820.7 bilion atau 58.0 peratus daripada KDNK setakat hujung tahun 2020, dan menjangkakan hutang akan mencecah 58.5 peratus daripada KDNK pada 2021, ia adalah merujuk kepada MGS, MGII dan MITB (seperti yang ditakrif dan diperuntukkan di bawah Akta Covid-19).
“Apabila mengambil kira pinjaman pesisir luar dan pinjaman-pinjaman lain, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM879.6 bilion atau 62.2 peratus daripada KDNK,” jelas Zafrul.
Walau bagaimanapun, had setiap jenis hutang di bawah lunas undang-undang masih dipatuhi bagi memastikan disiplin di dalam pengurusan fiskal. Langkah-langkah ini telah dijelaskan dan diterima oleh agensi-agensi penilaian antarabangsa dan para penganalisa.
Dalam erti kata lain, kedua-dua definisi adalah tepat tetapi merujuk kepada komponen-komponen hutang yang berbeza.
“Dan kerajaan sentiasa konsisten, di Parlimen atau kepada pihak media semasa menerangkan hutang negara bahawa ianya merangkumi MGS, MGII dan MITB. Tambahan pula, Kerajaan sentiasa telus mengenai hal ini di dalam Laporan Fiscal Outlook,” tambah Menteri Kewangan itu lagi.
Perlu hutang untuk selamatkan pekerjaan dan menyokong perniagaan
Krisis COVID-19 telah menyaksikan tindakan-tindakan luar jangka oleh pihak kerajaan serata dunia yang telah menyumbang kepada kenaikan ketara ke atas defisit fiskal dan hutang kerajaan.
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sebanyak USD14.0 trilion telah dibelanjakan oleh kerajaan-kerajaan serata dunia untuk melindungi nyawa dan meneruskan kelangsungan hidup. Ia juga telah menyebabkan jumlah stok hutang kerajaan melonjak naik kepada sekitar 100 peratus daripada KDNK global berbanding unjuran sebelum Covid-19 sebanyak 84 peratus sahaja pada Oktober 2019.
Lebih 1,600 program-program sosial dilancarkan oleh kerajaan-kerajaan serata dunia pada tahun lepas dan IMF turut membuat unjuran bahawa purata defisit keseluruhan daripada KDNK pada 2020 adalah -13.3 peratus untuk ekonomi maju, -10.3 peratus untuk pasaran baharu dan ekonomi kelas pertengahan, dan -5.7 peratus untuk negara berpendapatan rendah.
Tindakan pantas dan proaktif kerajaan di dalam memberi respon dasar melalui empat pakej stimulus ekonomi berjumlah RM305 bilion membantu mengurangkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.9 peratus pada Januari 2021, di mana lebih kurang 200,000 pekerjaan daripada sektor formal telah diwujudkan melalui inisiatif Penjana Kerjaya 2.0 di bawah PERKESO.
membantu mengurangkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.9 peratus pada Januari 2021, di mana lebih kurang 200,000 pekerjaan daripada sektor formal telah diwujudkan melalui inisiatif Penjana Kerjaya 2.0 di bawah PERKESO.
Kerajaan juga telah menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan dengan menyalurkan lebih daripada RM14.4 bilion subsidi upah kepada lebih daripada 330,000 pekerja. Geran Khas Prihatin memberi talian hayat kepada sekurang-kurangnya 900,000 peniaga PKS Mikro.
Tindakan ini telah menaikkan defisit fiskal kepada 6.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2020, tetapi ia lebih rendah daripada purata defisit bagi ekonomi baharu muncul dan ekonomi kelas pertengahan sebanyak 10.3 peratus dan lebih rendah daripada defisit 6.7 peratus yang direkodkan semasa kemuncak Krisis Kewangan Global pada tahun 2009.
Tahun ini, selain dari Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, Kerajaan turut melancarkan Pakej Bantuan Permai bernilai RM15 bilion dan program PEMERKASA bernilai RM20 bilion.
Secara keseluruhan, pakej-pakej ini telah membantu menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup; memastikan kesinambungan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
Lebih penting lagi, menurut Menteri Kewangan, RM5.0 bilion telah diperuntukkan ke arah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok kepada Disember 2021, tiga bulan lebih awal dari sasaran asal.
Segala usaha-usaha ini memerlukan penambahan hutang yang telah membantu mengekalkan pekerjaan dan menyelamatkan perniagaan serta mengurangkan kesan Covid-19 kepada ekonomi negara dengan mengehadkan penguncupannya kepada 5.6 peratus pada 2020.
Sebagai perbandingan, penguncupan ekonomi Malaysia adalah lebih rendah berbanding United Kingdom pada -9.9 peratus, Filipina pada -9.5 peratus, EU pada -6.2 peratus dan Thailand pada -6.1 peratus.
Sebagai perbandingan, penguncupan ekonomi Malaysia adalah lebih rendah berbanding United Kingdom pada -9.9 peratus, Filipina pada -9.5 peratus, EU pada -6.2 peratus dan Thailand pada -6.1 peratus.
Mengulas tentang strategi kerajaan untuk membayar hutang-hutang ini pula, Menteri Kewangan berkata, kunci utamanya adalah pertumbuhan ekonomi negara.
“Setakat ini memang kita telah mula melihat pemulihan ekonomi negara hasil daripada langkah-langkah dasar yang efektif. Sektor eksport negara kekal berdaya maju, berkembang selari dengan pemulihan perdagangan global.
“Kenaikan semula ekonomi dunia bermaksud nilai komoditi lebih tinggi di mana ia merupakan komponen utama perdagangan negara. Dengan pembukaan semula ekonomi secara beransur, penggunaan domestik akan meningkat semula,” jelas Menteri Kewangan.
Organisasi seperti Bank Dunia dan IMF meramalkan ekonomi Malaysia akan bangkit semula pada 2021, dengan kadar 5.6 – 6.7 peratus dan 6.5 peratus. Ditambah pula dengan pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang tersusun, langkah hadapan secara bersasar dan pematuhan SOP yang ketat, ekonomi Malaysia kini teguh bergerak ke arah pemulihan dan pengukuhan ekonomi pada tahun ini.
Dalam jangka masa sederhana dan panjang, Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa kerajaan komited terhadap konsolidasi fiskal melalui Strategi Hasil Jangka Sederhana dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.
Akta Tanggungjawab Fiskal yang dicadangkan akan mengkaji secara komprehensif dan memperkuat rangka kerja fiskal jangka sederhana, antara lain dengan mengutamakan perbelanjaan, menambahbaik kerangka cukai, mengetatkan penguatkuasaan dan meminimumkan ketirisan.
Kerajaan pada masa ini fokus untuk melonjakkan ekonomi, serta menangani masalah struktur demi pertumbuhan dan ketahanan sosio-ekonomi.
“Sekiranya kita perlu menanggung lebih banyak hutang untuk menyokong rakyat dan perniagaan, yakinlah bahawa kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tegas dan telus terhadap disiplin fiskal,” itu jaminan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul.
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah.
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2636 bertarikh 29 Mac 2021. |