Home Berita PAS Melaka

Serahan bantuan tablet Samsung secara pandu lalu esok – Norihan

973
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 20 Feb : Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah akan membuat serahan peranti tablet Samsung percuma untuk pelajar-pelajar daripada golongan B40 terpilih secara pandu lalu pagi esok, kata Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Norihan Bahari.

Menurut beliau, serahan itu akan dilakukan sendiri oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah.

“Penyerahan itu akan dibuat secara berperingkat untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Penerima daripada DUN Kuala Linggi akan mula menebus tablet ni bermula pukul 9.00 pagi.

“Kita anggarkan setiap DUN akan mengambil masa 20 minit ke setengah jam. Masa yang diambil untuk proses penyerahan bagi setiap DUN ini bergantung kepada kehadiran penerima esok,” ujar beliau.

Tambah Norihan lagi, jadual peringkat penyerahan secara pandu lalu esok akan bermula dengan DUN Kuala Linggi, diikuti DUN Tanjung Bidara, seterusnya DUN Ayer Limau, DUN Lendu dan yang terakhir ialah DUN Taboh Naning.

Menurut beliau, permohonan dan pemilihan untuk mengenalpasti penerima-penerima untuk program bantuan ini dibuat melalui sekolah-sekolah di sekitar Parlimen Masjid Tanah.

“Permohonan kita asing mengikut sekolah. Dan kita pergi ke sekolah-sekolah melalui wakil-wakil daripada (Pusat Khidmat) Parlimen untuk berjumpa dengan Guru-guru Besar untuk mencadangkan nama-nama yang layak.

“Dan kebanyakannya sasaran adalah kepada golongan B40 yang betul-betul susah. Hanya sekolah sahaja yang tahu (pelajar daripada golongan B40), sebab mereka ada rekod.

“Inilah yang terpilih daripada pihak sekolah sendiri. Kita hanya menghubungi (mereka yang telah dipilih oleh pihak sekolah).

“Ahli Jawatankuasa Penilai adalah daripada Guru-guru Besar sendiri, bersama dengan penilai yang juga terdiri daripada semua GPK-1,” ujar beliau.

Jelas Norihan lagi, jumlah penerima mengikut DUN atau sekolah bergantung kepada jumlah permohonan daripada sesebuah sekolah berdasarkan jumlah keseluruhan pelajar.

“Ada sekolah yang ramai, kita bagi sampai lapan unit tablet. Ada sekolah yang tak ramai (pelajar) kita bagi satu sahaja.

“Semua 38 buah sekolah rendah dan menengah yang ada dalam Parlimen Masjid Tanah ada penerima bantuan ini,” ujar beliau.

Norihan juga berharap agar ibu bapa dapat hadir pada waktu yang telah ditetapkan untuk mengelakkan kesesakan di laluan pandu lalu yang telah ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.