Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 27 Jan : Sebanyak 63 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini seperti dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.
Tambah laporan itu lagi, daripada keseluruhan 63 kes itu, 61 daripadanya adalah kes tempatan manakala dua lagi adalah daripada kes Import B.
JKNM juga melaporkan, sebanyak 1153 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk sepuluh kes ICU sementara empat kes lagi dibantu dengan alat penafasan.
Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 11 mukim berada di zon hijau, 20 mukim lagi berada di zon kuning dan tiada mukim berada di dalam zon jingga atau merah.
Sementara bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiada zon hijau; 17 mukim di dalam kuning; lima mukim di dalam zon jingga; dan tujuh mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (122 kes), Bandar Melaka (266 kes), Batu Berendam (103 kes), Bukit Baru (88 kes), Bukit Katil (71 kes), Cheng (43 kes) dan Sungai Udang (60 kes).
Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, lima adalah di dalam zon hijau; 14 adalah zon kuning; dua mukim dalam zon jingga dan tiada mukim lagi dalam zon merah selepas mukim Serkam berubah kepada zon jingga daripada zon merah hari ini.
Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Serkam Tengah, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Jalan Usaha, Kluster Tapak Bina Bali Residence dan Kluster Tembok Sungai Udang, sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3680 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Johor mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 1069 kes dan diikuti oleh Selangor yang mencatatkan 822 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 194,114 kes manakala semua negeri atau wilayah dilaporkan ada merekodkan kes baharu hari ini.