Home Artikel PAS Melaka

Tadika JAIM beroperasi di zon hijau dan kuning sahaja – KM Melaka

245
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 27 Jan : Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang telah mula beroperasi pada 20 Januari lepas akan diteruskan hanya bagi kawasan yang berada dalam zon hijau atau kuning sahaja, kata Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Tambah beliau lagi, bagi Tadika JAIM yang berada dalam zon merah dan jingga operasi akan dihentikan sementara sehingga dibenarkan beroperasi.

“Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah dilaksanakan di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Langkah ini diambil bagi meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa bekerja di samping dapat melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran secara berkesan kepada anak-anak pra sekolah.

“Namun demikian, Guru-guru Besar hendaklah mengambil langkah-langkah berikut:

“Menjalankan operasi dengan SOP yang ketat sebagaimana garis panduan yang telah dikeluarkan oleh MKN, KKM mahupun KPM sebelum ini; Menjalani sanitasi dalam ruangan tadika secara berkala (sebelum dan selepas PdP);

“Bagi tadika yang tidak boleh menampung keseluruhan murid (5 tahun dan 6 tahun) pengoperasian premis hendaklah secara bergiliran dengan penjarakan satu meter;

“Melaporkan kepada Jabatan sekiranya terdapat kontak rapat atau kes positif Covid-19 dalam kalangan guru, murid atau ibu bapa; Murid-murid yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke tadika;

“Membuat pemakluman kepada ibu bapa bahawa kehadiran anak-anak ke tadika adalah secara sukarela dan tiada paksaan,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, yuran bulanan bagi bulan di mana murid tidak hadir sepanjang tempoh PKP hendaklah dipulangkan semula.

“Kerajaan Negeri Melaka melalui Ketua Polis Melaka, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Pengarah JAIM boleh mengambil tindakan dengan menutup premis masjid, surau dan tadika sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan SOP di premis-premis tersebut.

“Ketetapan ini mula berkuat kuasa dari tarikh 28 Januari 2021 sehingga dimaklumkan kemudian.

“Kerajaan Negeri Melaka melalui JAIM akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat Islam di Negeri Melaka dari semasa ke semasa berdasarkan nasihat daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka, Jabatan Kesihatan Negeri,” ujar kenyataan itu lagi.

Ketua Menteri Melaka berkata demikian dalam satu kenyataan media bertarikh 27 Januari yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau sebentar tadi berhubung pengimarahan masjid dan surau, perkhidmatan nikah cerai dan rujuk serta kekeluargaan Islam dan pengoperasian tadika Jabatan Agama Islam Melaka sepanjang tempoh PKP.