Oleh : Siti Hajar
HANG TUAH JAYA, 24 Jan: Premis perniagaan viral menjual minuman Mango Float Royale terlihat hambar tidak seperti kebiasaannya yang meriah dengan pelanggan, ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Melaka yang diumumkan kerajaan 13 Januari lepas.
Menurut pekerja kedai makan yang terletak di Kampung Sungai Putat itu, Nur Hamizi Abdullah, 33, keadaan perniagaannya tidak begitu memberangsangkan sejak PKP berlangsung terutamanya ketika cuti hujung minggu.
“Perniagaan memang teruk dan terjejas, pelanggan yang ada pun datang daripada penduduk di sekitar sini.
“Delivery hari biasa okey. Tapi hari Sabtu dan Ahad kurang sambutan. Dulu pekerja dalam 11 orang satu kedai, sekarang hanya tinggal saya seorang,” ujar beliau.
Hasil tinjauan Wartawan Rakyat Melaka (WARM) mendapati, dalam satu-satu waktu terdapat sekitar satu hingga dua orang pelanggan sahaja yang masuk membeli di premis tersebut dan kebanyakan waktu keadaan sepi tanpa pelanggan.
“Pelanggan yang hadir hanya boleh take-away order mengikut SOP yang ditetapkan sepanjang PKP dan kena check suhu dulu sebelum masuk,” kata Hamizi lagi bagi menjelaskan persediaan yang telah dibuat oleh para peniaga di situ sebagai langkah penjagaan Covid-19.
Selain daripada premis tadi terdapat juga beberapa lagi perniagaan lain yang pernah tular seperti Mee Kari Sungai Putat dan Cikitang yang masih beroperasi sepanjang tempoh PKP ini hanya untuk pembelian bawa pulang.
WARM berharap agar orang ramai dapat membantu merangsang ekonomi peniaga jalanan dengan cara membeli apa yang termampu jika terserempak dengan mereka yang juga sedang berusaha mencari sesuap nasi untuk melangsungkan kehidupan.