Home Artikel PAS Melaka

Tinjauan PKP 2.0 Melaka : Peniaga tetap sabar dan syukur

309
SHARE

Oleh : Ummu Husna

JASIN , 24 Jan : Peniaga-peniaga Pasar Tani Merlimau pagi ini, mengakui pendapatan mereka memang terkesan dan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula sejak 13 Januari yang lepas ini, namun tetap melahirkan rasa syukur dengan apa yang mereka perolehi.

Menurut seorang peniaga barangan dapur, Muhd Umar Radzuan, mereka masìh boleh menarik nafas lega dan bersyukur kerana masih boleh berniaga berbanding sekatan yang dikenakan ke atas penjual pakaian dan aksesori.

“Mereka yang berniaga pakaian dan aksesori tidak dibenarkan untuk berniaga kali ini.

“Kita perlu bersabar dengan ujian Covid-19 ini dan hendaklah terus bersyukur, kerana masih ada lagi rezeki walaupun berkurangan,” ujar beliau ketika ditemubual Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi.

Seorang lagi peniaga yang menjual nasi lemak, Arifin Sidek pula berharap agar kerajaan dapat membenarkan pasar malam untuk beroperasi sepanjang PKP ini.

“Kami juga berhasrat agar pasar malam diberi keizinan oleh kerajaan untuk dibuka pada musim PKP ini agar kami diberi peluang berniaga dan dapat menambahkan pendapatan harian kami,” rayu beliau yang turut menjual nasi lemak di pasar tani tersebut.

Sementara itu, Pengurus Tapak Pasar Tani Merlimau, Husin Sulaiman berkata, tahap pematuhan rakyat kepada SOP yang ditetapkan amat dititikberatkan apabila berkunjung ke Pasar Tani di hujung minggu seperti ini.

“Kita memang menyediakan khemah khusus untuk para pengunjung scan kod QR atau menulis nama sebelum memasuki Pasar Tani ini, di samping menyediakan laluan masuk dan keluar berasingan,” ujar beliau.