Home Berita PAS Melaka

Rencana : Khidmat Malaysia (KM) mendahului usaha membantu mangsa banjir

535
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

SEMENJAK hari pertama banjir, PAS melalui Khidmat Malaysia (KM) dan rangkaian sivilnya telah turun ke medan operasi, membantu pemindahan mangsa banjir, menyediakan makanan serta membantu mengemas rumah mangsa-mangsa banjir.

Anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) dengan identiti baju merah maron dengan jumlah ribuan anggotanya telah bermandi keringat membantu rakyat. Tidak terkecuali Khidmat Malaysia Negeri Melaka telah menghantar Misi Pasukan Bantuan Banjir ke Johor dalam Majlis Pelepasan Kontijen Pertama Flag Off di Pejabat PAS Negeri di Semabok, malam kelmarin.

Sayap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) PAS, Khidmat Malaysia ini berperanan membantu kerja-kerja pengurusan kecemasan dan bencana di seluruh negara khususnya ketika banjir.

Pasukan pertama yang disertai seramai lebih 20 anggota Jabatan Amal diketuai oleh Omar Muallim yang membawa misi di bawah Panji Khidmat Malaysia Negeri Melaka, selama tiga hari akan berkhidmat di kawasan yang terlibat dengan banjir di negeri Johor.

Menurut KM Melaka, bilangan anggota akan bertambah sehingga lebih 50 sukarelawan yang bergerak secara berperingkat bergerak dengan kelengkapan pembersihan dan barangan sumbangan seperti barang makanan, lampin pakai buang bayi, tuala wanita dan selimut.

Pengarah Khidmat Malaysia (KM) Melaka, Muhamat Puhat Bedol telah mengeluarkan arahan untuk menggerakkan jentera bantuan bagi membantu negeri-negeri yang kini terjejas banjir di samping menghadapi apa-apa kemungkinan bencana banjir selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Khidmat Malaysia Pusat.

Menurut beliau, Khidmat Malaysia telah mengarahkan supaya semua Bilik Gerakan di peringkat Parlimen/Daerah yang terlibat dibuka serta merta dan setiap petugas dikerahkan untuk bersedia memberikan bantuan kepada mangsa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

‘’Perkembangan bencana akan dikemaskini di akaun Facebook, akaun Telegram dan akaun Twitter Khidmat Malaysia. Bilik Gerakan Info Bencana akan terus memantau perkembangan dari masa ke masa,” ujarnya.

KM sebagai NGO yang bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai ini menyeru kepada orang ramai yang ingin membantu mangsa banjir ini boleh menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Bencana yang dikendalikan oleh Khidmat Malaysia (Melaka) melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (0404-2010-0204-40) atas nama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Melaka.

Penulis adalah Wartawan Rakyat Melaka (WARM)