Home Artikel PAS Melaka

Perancangan kewangan Islam | Pengurusan risiko, tanggungjawab yang sering dilupakan

467
SHARE


Bersama perunding anda :

HAWA YAAKUB
Perunding Kewangan Berlesen

BOLEH dikatakan setiap individu perlu mengambil polisi perlindungan takaful untuk kenderaan yang mereka miliki. Jika tidak, mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan masing-masing.

Mengapakah polisi perlindungan ini diwajibkan oleh pihak-pihak yang berkenaan? Jawapannya ialah untuk MELINDUNGI pemilik kenderaan dan mereka yang terlibat (seperti bank ataupun pihak ketiga) daripada menanggung kerugian yang besar jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti kemalangan dan kecurian.

Sama juga jika kita mengambil pelan pembiayaan rumah dengan pihak bank. Kebanyakan bank akan menetapkan si penghutang untuk memiliki MRTT (Mortgage Reducing Term Takaful) atau produk seumpamanya sebagai prasyarat pembiayaan rumah tersebut untuk diluluskan.

Tujuan MRTT ini tidak lain adalah untuk MELINDUNGI pihak bank agar baki pembiayaan akan dibayar penuh sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal terhadap si penghutang yang menyebabkan si penghutang hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Ia juga MELINDUNGI si penghutang atau waris-waris yang ditinggalkan daripada terpaksa menanggung hutang yang besar jika si penghutang hilang punca pendapatan akibat hilang upaya kekal ataupun meninggal dunia. Aset yang dibiayai juga akan dapat terus dimiliki oleh si penghutang ataupun ahli keluarga yang ditinggalkan.

Semua projek juga memerlukan beberapa polisi perlindungan seperti Equipment All Risks, Workmen Compensation dan Comprehensive General Liabilities sebelum sebarang kerja boleh dimulakan.

Semua polisi ini adalah untuk MELINDUNGI semua pihak yang terlibat dalam sesebuah projek terutamanya dari aspek kewangan.

Kepentingan pelan penggantian pendapatan

Dalam pengurusan kewangan individu pula, Pengurusan Risiko amat penting supaya setiap individu mempunyai pelan Penggantian Pendapatan (Income Replacement Plan) sekiranya individu tersebut hilang punca pendapatan akibat hilang upaya kekal ataupun meningggal dunia yang meyebabkan ahli keluarga hilang tempat bergantung.

Terdapat dua dalil yang sahih berkaitan meninggalkan nafkah atau harta pusaka selepas seseorang meninggal dunia.
Firman Allah Taala:

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزواجًا وَصِيَّةً لِأَزواجِهِم مَتاعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ ۚ فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَعروفٍ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

“Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma’ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Baqarah: ayat 240)

Dalam sebuah hadis pula ada diriwayatkan:

Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan separuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”.
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Mengapa tidak lindungi kepentingan keluarga sendiri?

Walau bagaimanapun, adalah amat menyedihkan bila kita mendengar ramai individu yang berkata, “Saya tidak memerlukan Takaful” sedangkan saban tahun mereka memperbaharui Takaful kenderaan mereka dan mereka memiliki MRTT untuk pembiayaan rumah yang mereka ambil daripada pihak bank. Para kontraktor pula sentiasa membeli polisi-polisi perlindungan yang diwajibkan ke atas mereka setiap kali hendak memulakan sesebuah projek.

Majoriti rakyat Malaysia melindungi kepentingan pihak lain kerana kesemua pelan perlindungan tersebut telah diwajibkan oleh pihak yang berkuasa.

Malangnya, apabila melibatkan kepentingan diri sendiri dan orang yang paling disayangi, ramai individu dan ketua keluarga merasakan pelan perlindungan diri dan ahli keluarga adalah tidak penting. Sedangkan diri sendiri dan ahli keluarga lah orang pertama yang perlu dilindungi sekiranya kita kehilangan punca pendapatan.

Antara alasan yang biasa didengar ialah “Saya tak mahu ambil perlindungan takaful kerana saya taknak isteri saya mengggunakan wang tersebut dengan suami barunya selepas ketiadaan saya” ataupun “Dulu ayah saya pun tak ada meninggalkan takaful untuk kami. Pandai-pandailah anak-anak saya nak hidup kalau saya dah tak ada nanti.”

Alasan-alasan seperti ini menunjukkan tahap kefahaman dan kesedaran masyarakat kita yang masih sangat rendah dalam Pengurusan Risiko. Ianya juga menunjukkan sikap yang tidak berrtanggungjawab terhadap diri dan tanggungan, sedangkan dalil-dalil di atas jelas menyuruh umat Islam meninggalkan nafkah dan harta pusaka untuk isteri dan anak-anak yang ditinggalkan jika kita meninggal dunia.

Sebenarnya, setiap pelan Takaful yang kita ambil adalah untuk kepentingan diri kita sendiri. Manfaat paling utama ialah jika kita hilang punca pendapatan akibat hilang upaya kekal kerana penyakit (seperti strok) dan kemalangan.

Apa akan jadi nanti?

Bayangkan jika perkara tersebut terjadi ke atas diri kita, adakah kita merasakan isteri dan ahli keluarga kita sanggup menjaga kita yang sudah terlantar tanpa pembiayaan?

Ataupun kerana desakan hidup, para isteri mungkin terpaksa meninggalkan para suami yang sudah terlantar sakit dan ketiadaan wang untuk berkahwin dengan lelaki lain yang lebih bertanggungjawab dalam memelihara kebajikan mereka?

Mungkin contoh ini kedengaran agak keterlaluan, namun kita terpaksa menerima hakikat bahawa punca perceraian tertinggi di negara ini adalah kerana faktor kewangan.

Peribahasa Melayu ada menyebut ‘sediakan payung sebelum hujan’. Dalam erti kata lain, payung tersebut memerlukan kos dan bukanlah kita akan selalu memerlukannya, akan tetapi, jika keadaan memerlukan, maka kita sudah memilikinya untuk melindungi diri kita.

Pasti ada sebab yang sangat penting juga mengapa nenek moyang kita meninggalkan warisan peribahasa seperti ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna’ dan ‘sudah terhantuk baru tengadah’.

Oleh itu, marilah kita ‘beringat sebelum kena, jimat sebelum habis’ dan menjadi individiu yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan ahli keluarga kita dalam menyediakan keperluan kewangan yang betul. Yakinlah dengan pesanan orang-orang tua, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Penulis adalah perunding kewangan berlesen dan ahli Grup Penulis PAS Melaka