Home Berita PAS Melaka

Terima kasih YPM tak lupa Masjid Tanah – Mas Ermieyati

573
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 10 Jan : Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menzahirkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) atas sumbangan yang diberi untuk penduduk Masjid Tanah.

“Saya benar-benar mengharapkan supaya Yayasan Pelajaran Mara, sentiasa mengekalkan (pemberian bantuan). Malah saya ucapkan ribuan terima kasih kerana tak pernah meninggalkan Parlimen Masjid Tanah dalam apa juga usaha.

“Kita dengar tadi, macam-macam, bukan saja puluhan ribu, malah ratusan ribu yang telah diberikan daripada tiga tahun terakhir ini, macam-macam bantuan dan sebagainya,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah itu berkata demikian ketika merasmikan Program CSR Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Perasmian Program Back To School 2021 @KPLB Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), di sini, petang semalam.

Seramai 20 daripada jumlah keseluruhan 200 orang penerima sekitar Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan dalam majlis semalam sebagai simbolik penyerahan daripada pihak YPM.

Selain penyampaian sumbangan peralatan sekolah, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut menyempurnakan pelancaran Program CSR Pendidikan Skim Anak Angkat YPM di Parlimen Masjid Tanah ini.

Pihak YPM di dalam majlis ini telah menyerahkan ‘mock cheque’ bagi Skim Anak Angkat YPM kepada 30 orang pelajar sekolah rendah dan menengah bagi daerah ini di mana pelajar -pelajar yang terpilih ini akan menerima wang saku bulanan sebanyak RM100 sebulan sehingga tamat tingkatan lima.

Program Back to School 2021 @KPLB ini adalah melalui kerjasama strategik di antara YPM dan Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negara.

Untuk tahun 2021, YPM menyasarkan sumbangan di bawah Program Skim Bantuan Persekolahan YPM, akan memberi manfaat kepada seramai 44,400 orang pelajar di seluruh negara dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM2,664,000.00.

Turut menyampaikan ucapan di dalam majlis ini ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Dato’ Dr Mohd Nizar Sudin.

Turut hadir di dalam program ini Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Timbalan Pengarah MARA Melaka, Mohd Fauzi Alias, Timbalan Pengarah Pendidikan Melaka, Rosni Leman dan Penolong Pegawai Daerah Alor Gajah, Azlan Zainal.