Oleh : Siti Salwani Mohd Kassim
WAHAI wanita, kau dicipta begitu indah. Di sisi sang Khalik kau amat mulia. Peliharalah kemuliaanmu itu dengan akhlak yang terpuji. Jangan mahu dijadikan bahan pelaris produk.
“Jangan relakan tubuhmu dieksploitasi demi suatu gelaran oleh pihak yang mahu mengaut keuntungan daripada mata-mata yang menelanjangimu. Wahai Muslimah, janganlah kau ganti nikmat Allah dengan kekufuran.”
Amat penting bagi seorang wanita untuk mempelajari Fiqh Wanita iaitu suatu ilmu yang mendalam dari sudut syariah serta mengamalkannya dalam kehidupannya sebagai Muslimah. Tujuannya adalah bagi memahami hukum-hukum Islam dan kewajipan-kewajipan lain dengan lebih jelas agar sentiasa berada di dalam landasan yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
Hanya dengan kefahaman yang tinggi terhadap fikh wanita terutama tentang bersuci, beribadat, muamalat, kewajipan dan hak-hak wanita akan melahirkan golongan Muslimah yang berilmu, beriman dan bertakwa.
Emansipasi wanita
Menurut buku Ensiklopedia Fikah Sunnah Wanita yang dikarang oleh Syeikh Ahmad Jad, di awal tahun 1900, di seluruh pelusuk dunia Islam, muncul seruan-seruan untuk membebaskan para wanita dan memperoleh hak-haknya. Mereka menyebutnya sebagai ‘emansipasi wanita’ atau pembebasan wanita.
Golongan ini sebenarnya adalah penyeru kepada kesesatan dan kerosakan, penggerak kejahatan dan penaja aliran bebas. Tujuan mereka hanyalah untuk mengeluarkan kaum wanita daripada agamanya, membebaskan daripada akhlaknya dan menelanjangi mereka daripada pakaiannya.
Sebelum datangnya Islam, bukan hanya di Tanah Arab jahiliyah, wanita di seluruh pelusuk dunia adalah susuk terlantar dan tidak berharga. Di Benua Amerika, kabilah Paul menyembelih seorang gadis, memotong sendi-sendinya dan membahagi-bahagikannya pada tungku-tungku api sebagai korban.
Yunani Kuno pula menganggap wanita sebagai kejahatan yang didatangkan Tuhan dan bencana yang tersembunyi di sebalik penampilan yang baik. Di Belanda pada abad ke empat belas, ditemukan satu salinan undang-undang yang menyebut suami berhak memukul isteri dan mengikatnya dari bahagian bawah sehingga atas dan menghangatkan kakinya pada darah isteri. Suami boleh melakukan hal itu lagi apabila bekas jahitan sudah sembuh dan isterinya masih hidup.
Yunani adalah gambaran masyarakat yang paling maju dan moden di zaman dahulu. Menurut kitab ‘Wanita Dalam Pandangan Dunia Sebelum Islam’ terbitan Pondok Pesantren Darunnajah, pada abad yang lampau wanita berada di puncak kehinaan dari segala aspek kehidupannya. Di dalam masyarakat, mereka dianggap sebagai pembawa musibah. Kerendahan martabat tersebut menyebabkan mereka tidak layak duduk di meja makan sebagaimana lelaki, mereka hanya orang suruhan dan pelayan kepada tetamu asing.
Pandangan itu kemudiannya berubah. Masyarakat Yunani hanyut dalam arus nafsu syahwat di mana mereka memberikan kebebasan bagi wanita dalam urusan seksual. Wanita diberi kebebasan penuh untuk menjadi pelacur. Para pelacur dan penzina mendapat kedudukan yang tinggi, sehingga jadilah para pelacur itu sebagai kiblat bagi masyarakat Yunani dan mereka mendatangi para pelacur tersebut.
Malah, dicipta dongeng tentang dewa Kupid yang dikatakan buah yang dihasilkan daripada dewi hasil hubungan terlarang dengan manusia maka lahirlah ‘Kupid’ yang dianggap sebagai dewa cinta daripada hasil hubungan itu.
Di dalam ajaran Yahudi yang menyimpang disebutkan bahawa Hawa adalah musibah dan bencana yang menyebabkan Nabi Adam dikeluarkan dari syurga. Ajaran ini juga menyebut bahawa harta isteri adalah milik suaminya, harta milik isteri hanyalah mas kahwin yang diberikan ketika akad nikah. Isteri akan mendapat mas kahwin tersebut apabila suaminya meninggal dunia atau ketika bercerai apabila terjadinya perceraian. Semua hasil usaha isteri dan semua yang diberikan kepadanya ketika bersama suami adalah milik yang sah suami, di mana suami boleh membelanjakannya sesuka hati tanpa ada pertentangan.
Di dalam masyarakat India lama pula, selain wanita dilayan sebagai hamba kepada bapa, suami dan anak-anak, mereka tidak memiliki hak hidup setelah suaminya mati, sehingga dia harus mati di hari kematian suaminya dan dibakar hidup-hidup bersama mayat suaminya di dalam satu tempat pembakaran. Kaum lelaki mereka diletakkan di kedudukan seperti raja-raja manakala wanita dianggap sebagai punca kemunduran.
Di negara Parsi sebelum kedatangan Islam, undang-undang menyebutkan bahawa lelaki memiliki kebebasan mutlak tanpa batas termasuk menuruti hawa nafsu mendatangi wanita. Manakala wanita yang kerap melakukan kesalahan, maka tiada halangan untuk menyembelihnya. Bahkan tatkala haid wanita diusir dari tempatnya ke tempat yang jauh dari kota, dan tidak boleh ada yang berhubungan dengan mereka kecuali penghantar makanan.
Lelaki Arab di masa Jahiliyah merasa kecewa apabila dikhabarkan bahawa isterinya melahirkan anak perempuan. Mereka sangat marah dan kecewa seakan-akan ditimpa suatu musibah. Al-Quranul Karim telah mengisahkan tentang adat Jahiliyah yang ada pada mereka sebagaimana firmanNya di dalam surah An-Nahl, ayat 58-59 yang maksudnya:
“Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah.
“Ia menyembunyikan dirinya daripada orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.”
Di antara adat-istiadat Jahiliyah Arab yang paling buruk adalah mengubur anak perempuan hidup-hidup, maka hal ini dapat dikatakan sebagai bukti yang menunjukkan tentang puncak kekerasan dan kekejaman mereka.
Islam mengembalikan hak wanita
Apabila Islam datang, Islam memberikan semua hak-hak wanita yang sebelumnya dirampas. Islam juga memansuhkan semua kekerasan dan penindasan terhadap wanita. Di dalam beberapa hak dan kewajipan, Islam menyamakan lelaki dan wanita tanpa memandang tinggi terhadap jenis lain kecuali dengan takwa dan amal soleh seperti firmanNya di dalam surah Al-Hujurat ayat ke 13 yang bermaksud:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Sesungguhnya kebaikan itu sering disalahgunakan oleh golongan yang gemar mengambil kesempatan. Setelah cahaya Islam melimpahkan nikmat hidup kepada wanita serta menjaga mereka daripada bahan syahwat dan fitnah seksual, muncul golongan dajjal yang melihat wanita sebagai bahan tontonan untuk melariskan produk.
Dengan sifat semulajadi seorang wanita yang sukakan kecantikan dan kelihatan cantik, dikaburi oleh ganjaran kekayaan serta menjadi terkenal, tawaran memperagakan kecantikan tubuh menenggelamkan wanita dalam godaan syaitan. Falsafah ‘kecantikan adalah anugerah Tuhan yang tidak seharusnya disembunyikan’ daripada Yahudi membawa kepada kerosakan akhlak dan keruntuhan moral dalam masyarakat.
Islam telah memberi amaran kepada manusia tentang fitnah yang diakibatkan oleh wanita seperti Firman Allah swt di dalam surah Ali Imran ayat 14 yang bermaksud:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan.”
Pertandingan ratu cantik eksploitasi wanita
Maka tumbuh industri yang mengeksploitasi wanita seperti menjadikan mereka model yang berpakaian mencolok mata dan beraksi dangan aksi yang menaikkan syahwat di dalam iklan produk, menggunakan penari wanita dalam persembahan di pentas serta menganjurkan pertandingan ratu cantik mempamerkan sebahagian besar aurat untuk tatapan umum.
Di Malaysia, baru-baru ini hangat diperkatakan tentang penganjuran Pertandingan Ratu Cantik Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 Grand Final Gala Night yang dijadualkan berlangsung pada 2 Januari 2021. Dengan kebangkitan kesedaran agama di kalangan masyarakat, banyak pihak samada daripada NGO, parti politik dan orang perseorangan membantah penganjuran pertandingan ini yang dilihat tidak mendatangkan manfaat dan mengundang kemurkaan Allah.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh di dalam tulisan bantahannya mengatakan bahawa kecantikan adalah kurniaan Allah dan merupakan anugerah yang harus dijaga bukan dijadikan objek pertandingan. “Wanita bukan piala yang diukir dan dipamerkan buat tatapan umum”.
Justeru itu, buat wanita di seluruh dunia, cukuplah kaum kita dihina dengan sehina-hina kedudukan di dalam sejarah. Peranan asal kita ketika dicipta jelas jauh lebih mulia. Kembalilah kepada agama untuk mengembalikan kemuliaan wanita.
Samada secara rela atau terpaksa, penglibatan di dalam industri yang mengeksploitasi wanita ini telah menyimpang jauh dari landasan agama dan kembali menjadikan martabat kaum hawa menjadi rendah seperti di zaman jahiliyah.
Penulis adalah Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Melaka, Naqibat Pelatih di Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) di dalam jurusan Eksekutif Naqibat dan ahli Grup Penulis PAS Melaka.