Home Berita PAS Melaka

“Belanjawan 2021: Semuanya dengan izin Allah SWT”- Aziah Md Saad

636
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

TANGGA BATU, 28 Nov : “Kita semua kena yakin, kelancaran proses pengundian Belanjawan 2021 pada bacaan dasar kali ke-2 berlaku dengan keizinan dan kehendak Allah SWT.”

Begitu mukadimah ulasan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Md Saad ketika diminta mengulas tentang kelulusan Bajet 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Belanjawan 2021 menjadi tumpuan utama perbincangan rakyat Malaysia disebabkan beberapa intipatinya yang diperbincangkan selain khabar angin mengenai ura-ura penolakan kelulusannya oleh blok pembangkang.

“Belanjawan 2021 ini untuk rakyat. Terutamanya saat kita berdepan dengan fasa kritikal yang dihadapi hari ini.

“Mereka yang menolak belanjawan ini seolah-olah tidak prihatin dan peka dengan situasi semasa,” ujar beliau.

Mengulas mengenai proses pengundian yang berlaku kelmarin, beliau sedikit terkejut dengan cubaan usul undian belah bahagi yang tidak mendapat sokongan Ahli Parlimen seperti yang diperkatakan umum.

“Macam-macam boleh terjadi. Bahkan Ahli Parlimen yang ingin menolak kelulusan bajet tersebut boleh sahaja mengundi. Namun perkara yang berlaku sebaliknya.

“Bersyukur kita kepada Allah SWT yang mentakdirkan kelancaran proses pengundian kali ini,” kata beliau lagi.

Dalam pada masa yang sama, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong kelulusan belanjawan di peringkat dasar ini dan berharap belanjawan tersebut dapat memberi manfaat kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negara.

“Pengundian kelmarin adalah cabaran pertama yang dilepasi oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Masih ada cabaran pada bacaan kali ke-3 untuk dibahasakan di peringkat jawatankuasa sebelum sekali lagi dibuat undian suara dan diluluskan.

“Kerajaan Perikatan Nasional perlu fokus dan komited membawa aspirasi rakyat melalui belanjawan 2021”, ulasnya di penghujung sesi wawancara beliau bersama Wartawan Rakyat Melaka semalam.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)