Home Artikel PAS Melaka

LKK PAS Kota Melaka konsisten ziarah kebajikan setiap minggu – Salawati

318
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 28 Nov : Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Kota Melaka giat meneruskan usaha dan konsisten menggerakkan rutin program kebajikannya setiap minggu bagi membantu khususnya kepada masyarakat dan golongan B40 yang sedang berdepan situasi sukar walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19 gelombang ketiga.

Ketuanya, Salawati Alin berkata, usaha tanpa henti itu bertujuan untuk memastikan nasib golongan kurang berkemampuan terus diberikan perhatian dan pembelaan sewajarnya agar semua pihak perlu akui dan mengambil berat tentang mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini.

“Ada bapa yang hilang sumber pendapatan, ada anak yang lapar perlu perhatian, ada ibu yang perlu berhenti kerja, ada Orang Kurang Upaya (OKU) yang terlantar. Bagaimana pula dengan mereka yang hanya bergantung dengan pendapatan harian untuk menyara anak-anak? Pasti sangat terjejas.’’ ujar Salawati.

Selepas hampir sebulan program ini berjalan, lebih 200 keluarga termasuk dua buah keluarga yang berdepan bencana ribut di Permatang Pasir dan mangsa banjir telah menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian seperti beras, gula, telur, minyak, tepung, susu, dan bihun.

Menurut Salawati, Kit barang keperluan adalah hasil sumbangan daripada individu persendirian dan orang ramai untuk diagihkan kepada penerima.

“Pihak LKK juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada golongan yang bermurah agar dapat menampung kos pembelian barang dapur,” katanya.

Turut turun padang dan membantu bersama-sama ziarah kebajikan ini ialah isteri Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Datin Ustazah Safinah Hashim, Yang Di-pertua PAS Kawasan Kota Melaka, Abd Ghapar Abdul Wahab, bersama-sama dengan AJK Kawasan yang lain, antaranya Ketua Penerangan, Azmi Aziz, Pemangku Ketua Dewan Muslimat, Rohani Hassan, Ketua Dewan Pemuda, Zulhilmi Suboh dan Ahli Jawatankuasa lain.

Mereka yang ingin menyumbang bagi menjayakan misi murni ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB – 860 116 3048 atas nama PAS KAWASAN KOTA MELAKA.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)