Oleh : Abu Harith
TAHUN 2020 merupakan tahun yang boleh dikira sebagai tahun yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh semua rakyat Malaysia, bahkan penduduk dunia juga. Pada tanggal 18 Mac 2020, kerajaan Malaysia mula mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.
Ini merupakan satu situasi di luar jangkaan bagi semua orang pastinya. Rakyat memberikan respon yang pelbagai kepada pengumuman ini. Pelbagai emosi diluahkan, tidak kurang yang mencemuh, marah, bimbang, terkejut dan mungkin lega dengan tindakan drastik yang diambil oleh pihak kerajaan berdasarkan pertimbangan yang telah dibuat.
Satu isu penting sehingga ke hari ini yang perlu diberi perhatian ialah tentang bagaimana tahap kesihatan mental rakyat Malaysia apabila berhadapan dengan situasi Covid-19 yang masih merebak dan pelaksanaan PKP/PKPB yang masih berjalan di sesetengah negeri.
Ditambah lagi dengan peningkatan kadar pengangguran, kehilangan sumber pendapatan, penutupan operasi sesetengah perniagaan dan pejabat serta kawalan merentas negeri pastinya memberikan impak yang cukup besar kepada tahap kesihatan mental masyarakat.
Allah SWT berfirman, maksudnya.
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
– Surah al-Ahqaf ayat 13
Islam sangat mementingkan aspek penjagaan mental atau akal. Apabila seseorang itu mempunyai kesihatan mental atau akal yang baik, maka di situlah kebertanggungjawaban mula diberikan kepada seseorang terutama dalam urusan ibadat khususnya. Bahkan perkara ini menjadi satu aspek penting juga dalam Maqasid al-Syariah.
Akal yang sihat dan sejahtera akan memastikan kestabilan emosi serta menjamin kehidupan yang berkualiti. Punca gangguan emosi dan mental akan mula timbul apabila akal tidak diuruskan dengan baik.
Dalam satu Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, masalah gangguan emosi seperti kebimbangan, tekanan, kerisauan dan kesunyian menjadi isu utama masalah kesihatan mental rakyat Malaysia.
Berdasarkan statistik semasa, seramai hampir 500, 000 orang rakyat negara ini iaitu 2.3 peratus megalami kemurungan. Peningkatan ini berlaku terutama sejak negara mula melaksanakan PKP. Ini merupakan satu keadaan yang cukup membimbangkan. Jika tidak dikawal, boleh menjadi satu barah yang merosakan institusi masyarakat di negara kita.
Isu ini boleh menimpa kepada sesiapa sahaja jika mereka tidak mempunyai ilmu dan kemahiran untuk mengurus serta menaganinya. Isu kesihatan mental boleh menyerang sesiapa sahaja, sama ada golongan bawahan, pertengahan mahupun profesional sekalipun.
Ia merupakan isu sejagat, yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Sikap mengambil berat, prihatin kepada perubahan emosi dan mental seseorang, cakna kepada keperluan individu lain merupakan antara sikap yang baik untuk diamalkan dalam tempoh genting ini. Kadang-kadang kita tidak dapat menjangkakan bahawa ahli keluarga atau rakan terdekat kita juga mungkin sedang mengalami situasi sukar ini. Mereka perlu dibantu dan diberi sokongan.
Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, kita seharusnya sedar situasi ini merupakan sebahagian siri ujian yang Allah SWT timpakan kepada kita. Perkara ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melihat siapakah dalam kalangan mereka ini yang baik amalanya, sabar, reda dan tidak berputus asa. Kita yakin dan percaya, semua ini datang daripada Allah SWT dan pastinya mempunyai hikmah yang besar untuk kita.
Allah SWT berfirman, maksudnya.
“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan kerana kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
– Surah al-Baqarah ayat 155
Sesungguhnya kita tidak boleh menjangkakan ujian yang Allah SWT akan timpakan kepada kita, namun kita boleh mengubah cara kita berfikir dan bertindak dalam menempuhi ujian tersebut. Bersangka baiklah kepada Allah SWT dan ambilah hikmah terhadap setiap apa yang berlaku kepada kita.
Berusahalah untuk menjaga minda kita dalam keadaan sentiasa positif melalui pergaulan bersama mereka yang optimis, yang mampu memberi sokongan kepada kita, mencari bahan-bahan bacaan yang memberikan input baik untuk terus kekal positif, melaksanakan aktiviti berfaedah yang kita sukai dan seterusnya sibukkan diri dengan membuat kebaikan yang banyak. Kita berharap, dengan kebaikan yang kita buat ini Allah SWT akan segera mengangkat semua kesulitan yang sedang kita hadapi.
Tidak dinafikan juga, dengan mendapatkan bantuan daripada mereka yang pakar seperti kaunselor dan ahli psikologi merupakan satu jalan yang boleh kita usahakan. Ini ikhtiar yang boleh kita buat agar kita tidak mudah mengambil tindakan di luar kawalan apabila hilang kewarasan akal ataupun berjumpa dengan orang yang silap untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Jika ini berlaku, pastinya ia akan menambah derita dan merumitkan keadaan yang sedang kita lalui. Bertindak dengan betul sebelum keadaan ini membahayakan diri kita dan orang lain. Ketahuilah bahawa perkhidmatan kaunseling bukan sahaja untuk mereka yang mempunyai masalah tetapi ia juga berperanan membantu sesiapa sahaja yang ingin membentuk dirinya menjadi lebih baik.
Sedarlah, setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing dalam menangani permasalah ini mengikut kadar yang kita mampu. Jangan disisihkan atau mencemuh mereka yang sedang diuji dengan masalah kesihatan mental. Mereka juga manusia biasa yang punyai hak untuk sembuh, hak untuk dibantu dan hak untuk menjalani kehidupan dengan baik.
Mereka adalah sebahagian daripada struktur masyarakat kita. Mereka tidak minta untuk diuji sebegini rupa dan pastinya mereka ingin kembali berfungsi seperti sediakala, meneruskan kehidupan dengan berkualiti dan mencapai impian mereka seperti mana mereka yang lain. Ingatlah, anugerah kesihatan mental ini satu nikmat yang cukup besar dan harus dipelihara dengan sebaiknya. Semoga pandemik Covid-19 ini segera berakhir dari negara kita dan dunia . Insya-ALLAH.
Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar