Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Perjanjian persahabatan Johor-Riau-Belanda ditandatangani

380
SHARE

26 NOVEMBER 1818

PADA hari ini dalam tahun 1818, Perjanjian Persahabatan telah ditandatangani antara Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang Sultan Abdul Rahman, Yamtuan Muda Raja Jaafar dengan Laksamana Wolterback bagi pihak pemerintah Belanda di Melaka.

Perjanjian tersebut bertujuan untuk mewujudkan semula perhubungan persahabatan di antara kedua-dua kerajaan sebelum Melaka diserahkan kembali oleh Inggeris kepada Belanda.

Melalui perjanjian tersebut, kerajaan Belanda mengakui bahawa Sultan Abdul Rahman adalah Sultan bagi kerajaan Johor-Riau-Lingga dan Pahang. Perjanjian persahabatan tersebut dibuat setelah Inggeris, melalui wakilnya William Farquhar yang memberitahu Sultan Abdul Rahman bahawa Belanda akan datang menyerang dan seterusnya telah memujuk Raja Jaafar supaya membuat perjanjian dengan Inggeris.

Walau bagaimanapun, Inggeris telah menyerahkan semula Melaka kepada Belanda. Pemerintah Belanda di Melaka juga telah menolak semua tuntutan Inggeris. Yamtuan Muda Raja Jaafar telah menyatakan rasa kesalnya kerana menandatangani perjanjian dengan Inggeris itu lalu mencadangkan supaya satu perjanjian baru dibuat antara kerajaan Riau-Lingga dengan Belanda. Tujuan perjanjian tersebut adalah untuk menjamin keselamatan Riau-Lingga.

Sesungguhnya, perjanjian Johor-Riau dan Belanda yang ditandatangani telah dapat menghapuskan rasa curiga di antara kedua-dua belah pihak. Sebelum perjanjian ini, Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang telah menandatangani satu perjanjian dengan Inggeris pada 19 Ogos 1818. Perjanjian ini dibuat setelah Inggeris menyebarkan fitnah mengatakan Belanda akan datang menyerang dan mengambil Riau dan Lingga.

Dalam perjanjian ini menyatakan, hanya Inggeris berhak menguasai hasil dagangan dalam daerah kekuasaan Sultan Johor. Dalam bulan September 1818, Inggeris menyerahkan semula Melaka kepada Belanda. Pemerintah Belanda ketika itu, menolak semua tuntutan Inggeris yang terkandung di dalam perjanjian tersebut. Berikutan itu, satu perjanjian baru telah ditandatangani di antara Kerajaan Johor dengan Belanda sebagai menghapuskan rasa curiga yang timbul akibat daripada fitnah Inggeris.

Kredit sumber : Ihsan ARKIB NEGARA MALAYSIA


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)